Bola Sepak

KBS tak sisihkan pembangunan bola sepak

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak akan menyisihkan pembangunan bola sepak khususnya Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) dan Akademi Bolasepak Mokhtar Dahari (AMD) meskipun tidak disenaraikan dalam pengumuman Belanjawan 2021, semalam.

Sebaliknya, bagi memastikan pemain muda bola sepak negara terus dicungkil bakatnya seperti mana kejayaan memasarkan penyerang muda, Luqman Hakim Shamsudin bermain di kelab utama Eropah, KBS akan menggunakan peruntukan sebelum ini dalam Rancangan Malaysia Ke-11.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, peruntukan khusus di bawah perbelanjaan pembangunan itu turut akan membabitkan atlet di bawah Program Podium.

"Selain itu, kelangsungan NFDP, AMD dan juga persiapan atlet prestasi tinggi di bawah Program Podium bagi menghadapi beberapa temasya sukan utama seperti Sukan Olimpik & Paralimpik, Tokyo 2020 dan juga Sukan Sea dan Sukan Para Asean, Vietnam 2021 akan tetap diteruskan.

"Dengan peruntukan khusus di bawah perbelanjaan pembangunan, baik sebagai program sambungan Rancangan Malaysia Ke-11 mahupun sebagai butiran baharu Rancangan Malaysia Ke-12," katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.

Terdahulu, menerusi Belanjawan 2021 yang dibentang di Parlimen semalam, sebanyak RM55 juta diperuntukkan bagi meneruskan program-program pembangunan sukan sedia ada iaitu hoki, ragbi, badminton dan berbasikal di samping program pembangunan atlet wanita dan e-sports bagi tahun 2021 nanti.

Bagaimanapun, ia menimbulkan tanda tanya mengenai peruntukan buat sukan bola sepak yang sebelum ini sering mendapat perhatian dengan pembahagian dana khusus untuk NFDP dan AMD.

Untuk rekod, program pembangunan bola sepak negara itu berjaya melahirkan pemain hebat seperti Luqman yang kini melakar sejarah sebagai tonggak pertama Malaysia yang beraksi di Eropah.

Luqman yang berusia 18 tahun sebelum ini dikesan bakatnya menerusi program NFDP dan dilatih di bawah sistem pembangunan itu yang akhirnya menyaksikan dia mengikat kontrak selama lima tahun dengan kelab Belgium, KV Kortrijk.

Kejayaan pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu nyata menjadi kebanggaan negara apabila jutaan rakyat Malaysia sering mengikuti perkembangannya di sana.

Sementara itu, Reezal turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dengan pemberian peruntukan yang besar itu.

"Pengumuman tersebut juga memperlihatkan sebahagian daripada perencanaan yang telah dikemukakan oleh KBS untuk memulakan program pembangunan atlet bagi beberapa sukan teras yang lain seperti olahraga, renang, terjun, gimnastik, tenpin boling, skuasy dan golf bermula tahun depan.

"Pengenalpastian sukan-sukan tersebut adalah berasaskan beberapa faktor di antaranya potensi untuk menyumbang pingat kepada negara di persada antarabangsa selain dari menawarkan bilangan acara dan pingat yang banyak," katanya.

Disiarkan pada: November 7, 2020 @ 6:02pm
d