Bola Sepak

Selangor benam Melaka

Oleh Nazri Abu Bakar

Melaka: Selangor mara ke suku akhir Piala Malaysia selepas menewaskan Melaka 2- 1 di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput sebentar tadi.

Berstatus sebagai tuan rumah nyata membakar semangat pemain Merah Kuning untuk bertindak garang walaupun aksi di venue yang menjadi lokasi Melaka sebagai gelanggang utama.

Kesungguhan juara 33 kali itu untuk mencipta kemenangan terserlah selepas berjaya menjaringkan gol pertama pada minit ke-21 menerusi jaringan bekas penyerang Melaka, Ifedayo Olusegun.

Gol berpunca daripada gerakan menarik rangkaian serangan Selangor selepas Wan Zack Haikal melintangkan bola kepada Ifedayo yang tidak dikawal sekali gus membolehkan penyerang import itu mudah menewaskan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.

Bagaimanapun, Melaka pantas bertindak untuk berusaha menyamakan kedudukan namun percubaan Uche Agba pada minit ke-35 berjaya diselamatkan penjaga gol, Khairul Azhan Mohd Khalid.

Lima minit babak kedua bersambung Selangor terus menampilkan serangan berkualiti selepas Sandro Da Silva bijak melakukan rembatan dari dalam kotak penalti namun berjaya diselamatkan Khairul Fahmi.

Namun pada minit ke-52 Sandro menebus kehampaan dengan jaringan buat pasukannya selepas menerima hantaran Ifedayo menghadiahkan jaringan kedua Selangor untuk selesa di depan.

Ketinggalan dua gol meningkatkan kesungguhan Melaka untuk kembali bangkit menerusi jaringan Uche Agba pada minit ke-63 selepas menerima hantaran pemain gantian Ahmad Syamim Yahya.

Namun agak terlambat buat skuad Hang Tuah selepas setiap usahanya untuk menyamakan kedudukan dan mengheret penentuan ke masa tambahan tidak berhasil sehingga ke wisel penamat.

Keputusan itu sekali gus membuka laluan skuad Lembah Klang terbabit mara untuk berdepan Kedah.

Disiarkan pada: November 8, 2020 @ 11:08pm
d