Bola Sepak

Gol Vardy julang Leicester

Oleh AFP

Leicester: Leicester City berada di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas jaringan penalti Jamie Vardy membolehkan mereka mencatat kemenangan 1-0 ke atas Wolverhampton Wanderers awal pagi tadi.

Vardy meledak jaringan melalui sepakan penalti pada separuh masa pertama di Stadium King Power dan walaupun penyerang berkenaan meraih peluang kedua di situasi sama namun ia berjaya diselamatkan Rui Patricio.

Pasukan bimbingan Brendan Rodgers, yang memenangi enam perlawanan berturut-turut dalam semua kejohanan, satu mata mengatasi Tottenham untuk berada di tangga teratas liga.

Keputusan seri yang dicatatkan Liverpool ketika menentang Manchester City selepas itu membolehkan mereka kekal di puncak liga.

Bagaimanapun, pengurus Leicester tetap gembira dengan pencapaian anak buahnya pada permulaan musim ini jika mereka tidak berada di tangga teratas liga sekali pun awal pagi tadi.

Mereka seakan sudah melupakan kesakitan gagal melayakkan diri ke Liga Juara-Juara pada perlawanan terakhir musim lalu dan dilihat berkemampuan untuk mencabar kedudukan empat tangga teratas.

"Apa saja mengenai perlawanan kali ini semuanya bagus dan kami sepatutnya menjaringkan lebih dari satu gol.

"Cara permainan kami lebih baik ketika berdepan pasukan yang bagus. Anda tidak selalu mendapatkan rentak seperti itu. Lebih banyak kami bekerjasama, kami mampu untuk berdepan dengan tekanan.

"Kami berdepan cabaran sebenar pada bahagian pertama musim ini dengan barisan pemain yang kami ada, jadi memenangi sembilan daripada 11 perlawanan untuk semua kejohanan menunjukkan kami mempunyai pasukan luar biasa," katanya.

Disiarkan pada: November 9, 2020 @ 8:34am
d