Bola Sepak

TFC teruskan persediaan seperti biasa

Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain tetap meneruskan persediaan pasukannya seperti biasa sebelum berdepan Perak pada aksi suku akhir biarpun saingan Piala Malaysia masih belum mendapat 'lampu hijau' sama ada diteruskan ataupun sebaliknya.

Hal ini berikutan susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh semenanjung kecuali Kelantan, Perlis dan Pahang yang bermula pada hari ini.

Jurulatih kelahiran Kelantan itu juga tetap menerima dengan hati yang terbuka jika saingan edisi ke-99 itu menjadi 'korban' berikutan wabak pandemik Covid-19.

Beliau menyerahkan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) berhubung perkara itu demi kebaikan semua pihak termasuk pemain dalam saingan tertua di Asia itu.

"Jika Piala Malaysia dapat diteruskan kita akan sediakan pasukan seperti biasa, namun jika terpaksa dibatalkan kita juga akan terima. Namun saya percaya, pasti ada jalan penyelesaian terbaik yang akan difikirkan MFL dan pihak kerajaan seperti pertukaran 'venue'.

"Untuk itu saya tidak ada masalah dan bersedia menerima apa jua keputusan daripada pihak MFL kerana jika sekiranya terpaksa membatalkan saingan itu sudah tentu ia dibuat demi keselamatan pemain dan pegawai.

"Jadi kita tunggu dan ikut arahan yang bakal diberikan nanti," kata Nafuzi selepas berakhir pertemuan dengan pasukan PJ City di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak malam kelmarin yang berkesudahan pasukannya merakam kemenangan tipis 1-0 hasil jaringan pemain tengah kelahiran Uzbekistan, Sanjar Shaakhmedov pada minit ke-36.

Berdasarkan jadual sebelum ini skuad Penyu bakal menerima kunjungan Perak di peringkat suku akhir pada 12 November ini, namun MFL belum lagi memutuskan status terkini saingan piala berprestij itu dan dijangka akan diumumkan dalam masa terdekat.

Disiarkan pada: November 9, 2020 @ 1:37pm
d