Bola Sepak

Bernhardt gembira mara ke suku akhir

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

Manjung: Pengendali UiTM FC, Frank Bernhardt menyifatkan perlawanan pasukannya dengan Kelantan dalam aksi saingan Piala Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, malam tadi, bukan laluan mudah.

Bernhardt berkata, ia adalah pertembungan sengit biarpun skuad The Lion Troops mendahului pada awal permainan dengan dua gol.

Kelantan yang bangkit pada separuh masa kedua dan menjaringkan dua gol, bagaikan memberi tonik kepada UiTM FC untuk meledak satu lagi gol kemenangan dan bertahan hingga wisel penamat.

"Ini adalah permainan yang sukar kerana selepas menjaringkan dua gol kami mempunyai banyak peluang namun gagal menemui penyudah sebaliknya Kelantan memperoleh dua gol pantas pada separuh masa kedua.

"Tetapi jaringan Muhamad Arif Mohamed Anwar memberikan kita gol kemenangan dan gembira dapat mara ke peringkat seterusnya," katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan yang berkesudahan 3-2 malam tadi.

Bakal bertemu juara Liga Perdana, Pulau Pinang pada aksi suku akhir nanti, pengendali berasal dari Jerman itu menjangkakan perlawanan yang lebih berbeza dengan malam tadi.

Katanya, beliau berharap pasukannya akan bermain dengan lebih baik untuk melangkah ke peringkat seterusnya biarpun mereka terpaksa berlatih dalam kumpulan yang kecil.

Sementara itu, Pengendali Kelantan, Yusri Che Lah menyifatkan kekalahan pasukannya bermaruah dengan anak buahnya bermain sepenuh hati dan tetap menganggap pemainnya sebagai wira walaupun tewas.

Skuad The Red Warriors berjaya menyamakan kedudukan pada separuh masa kedua biarpun ketinggalan dua gol, namun terpaksa akur apabila UiTM FC meledak satu lagi gol yang membenam hasrat mereka mara ke suku akhir.

Bekas pemain kebangsaan itu turut menyifatkan persembahan anak buahnya malam tadi adalah yang terbaik sepanjang musim ini, membawa semangat pemilik pasukan, Norizam Tukiman.

"Hampir 90 peratus pemain Kelantan dalam padang dan hanya ada seorang tenaga import tetapi itu bukan alasan, pemain merealisasikan plan cuma sayangnya kita tewas tipis 3-2."

UiTM FC bukanlah pasukan biasa kerana mereka mempunyai pemain import yang berbahaya, kami banyak mencipta peluang dan walaupun tewas tetap bersyukur kerana pemain bermain sepenuh hati," katanya.

Disiarkan pada: November 9, 2020 @ 1:55pm
d