Bola Sepak

FAM gesa pertimbangan MKN

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Majlis Keselamatan Negara (MKN) digesa memberi pertimbangan sewajarnya berkenaan keputusan penangguhan saingan Piala Malaysia dengan mengambil kira kerugian yang mungkin dialami pasukan bertanding.

Menurut Exco Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Christopher Raj, sejak kempen Liga Malaysia disambung semula pada September lalu selepas ditangguhkan hampir lima bulan ekoran wabak Covid-19, tiada langsung kes membabitkan kluster bola sepak ketika saingan Liga Super dan Liga Perdana dijalankan.

Malah, kesemua pasukan termasuk pemain dan pegawai sudah menjalani pelbagai ujian kesihatan seperti 'swab test' yang dilakukan mengikut garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Mohon pertimbangan pihak MKN untuk mengkaji semula keputusan menangguh Piala Malaysia 2020.

"Ada beberapa faktor yang perlu diambil kira oleh MKN antaranya pertama, pertandingan boleh dijalankan di gelanggang yang terletak di negeri bukan di bawah PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) misalnya Pahang, Kelantan dan Perlis.

"Kedua, kepadatan jadual akan dirasai oleh pasukan sekiranya Piala Malaysia ditangguh sehingga tahun 2021, mengambil kira kalendar pertandingan AFC (Konfederasi Bolasepak Asia).

"Ketiga, setiap pasukan perlu membayar gaji pemain dan pegawai pasukan sehingga bulan Disember. Ini akan mengakibatkan kerugian kepada pasukan (sekiranya dilanjutkan hingga ke bulan seterusnya).

"Keempat, tiada kes Covid-19 membabitkan pemain dan pegawai bola sepak. Mereka sudahpun menjalani 'swab test' sebelum pertandingan dijalankan dan sudah menjalani kuarantin kendiri.

"Kelima, malah ada kluster membabitkan sukan golf tetapi tiada tindakan diambil untuk menutup operasi golf," katanya yang memegang portfolio sebagai Pengerusi Jawatankuasa Media dan Perhubungan Awam FAM.

Kelmarin, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memohon maaf kepada peminat bola sepak apabila mesyuarat MKN bersama KKM memutuskan supaya saingan Piala Malaysia ditangguhkan buat seketika.

Jelas Ismail, permainan bola sepak yang membabitkan sentuhan ketika bermain adalah merbahaya kerana ia boleh merebak sekaligus mengancam nyawa pemain.

Bagaimanapun, penangguhan berkenaan nyata mendapat tentangan dari pelbagai pihak terutama pasukan kerana mereka bakal menangguh beban kewangan di mana kebanyakan kontrak pemain akan berakhir hujung bulan ini.

Ia sekaligus menyaksikan pasukan terpaksa mencari dana tambahan bagi menampung pembayaran gaji pemain yang mencecah ribuan ringgit.

Ujar Christopher lagi, liga luar negara harus dijadikan contoh di mana beberapa liga masih diteruskan meskipun negara terbabit turut terkesan dengan pandemik itu.

"J League (Liga Jepun), K League (Liga Korea Selatan), EPL (Liga Perdana Inggeris), Serie A (Liga Itali) ada kes, tetapi tetap dilangsungkan seperti biasa. Ada yang benarkan kehadiran penonton dengan kapasiti kecil.

"Format pertandingan (Piala Malaysia) diubah kepada kalah mati, berbanding format separa liga sebelum ini. Hanya 15 perlawanan sahaja untuk musim ini. Tempoh pertandingan lebih singkat.

"Kehadiran di stadium hanya membabitkan pemain, pegawai pasukan, pegawai pertandingan, 'ball boy', anggota perubatan, anggota keselamatan, petugas media, dan krew penyiaran tanpa kehadiran penonton.

"Mohon agar pihak MKN dapat berbincang dulu dengan pemegang taruh untuk mencari solusi yang terbaik. Saya yakin pasukan sentiasa patuh dan mengamalkan SOP yang disediakan dalam memastikan penularan Covid-19 dapat dikawal," katanya.

Sabtu lalu, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan PKPB di semua negeri di Semenanjung Malaysia kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan sehingga 6 Disember depan.

Selepas berakhir pusingan pertama hujung minggu lalu, lapan pasukan sudah mengesahkan tiket ke suku akhir Johor Darul Ta'zim (JDT), Selangor, Kuala Lumpur, Kedah, Pulau Pinang, Terengganu FC, UiTM FC dan Perak dengan aksi itu sepatutnya berlangsung esok dan Jumaat ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 10, 2020 @ 7:14pm
    d