Bola Sepak

Luqman makin 'sado', rambut kemas

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Makin sado! Itu pujian diberikan peminat bola sepak tempatan selepas penyerang muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin memuat naik gambar terbarunya di laman Instagram yang memperlihatkan perubahan fizikalnya.

Rata-rata peminat terpegun melihat perkembangan terkini pemain KV Kortrijk (KVK) dalam liga Belgium itu yang semakin berotot dan sado.

Paling menonjol adalah di bahagian dada dan lengannya yang dilihat lebih besar berbanding ketika mula-mula tiba di Belgium pada Ogos lalu.

"Nampak 'muscular' la sekarang ni man (Luqman). Bagus boleh 'duel' dengan pemain-pemain Eropah," tulis aiman_qayyum71 di ruang komen Instagram milik Luqman.

"Fuh man nampak 'chest' ada naik lah. Terbaik!! Semoga baik-baik di sana Luqie (nama panggilan Luqman di Belgium)," kata azshariq.

Bagi muhd_suzaimi pula, "Wah..dah nampak perubahan otot 'body'..baru boleh saing dengan orang Eropah."

Sebelum ini, fizikal kecil Luqman pernah menarik perhatian peminat tanahair yang membandingkan dengan fizikal seorang lagi bintang bola sepak negara, Safawi Rasid yang disifatkan jauh berbeza.

Safawi yang kini turut beraksi di Eropah bersama kelab Portugal, Portimonense SC dikatakan memiliki otot lebih baik dan sesuai bermain di benua itu.

Sementara itu, perubahan rambut Luqman juga menarik perhatian apabila dia tampil lebih kemas daripada sebelumnya.

Luqman, 18, ketika ini sedang menjalani proses pemulihan selepas mengalami kecederaan hamstring, di mana otot peha kanannya disahkan koyak sepanjang 2 sentimeter dan perlu berehat selama tiga minggu.

Kecederaan itu dialaminya ketika menjalani sesi latihan sehari selepas perlawanan menentang RSC Anderlecht pada 24 Oktober lalu.

Untuk rekod, Luqman muncul pemain pertama Malaysia beraksi di liga utama Eropah selepas dia dimasukkan sebagai pemain gantian ketika berdepan RSC Anderlecht yang menyaksikan KVK tewas 1-3.

Disiarkan pada: November 10, 2020 @ 10:59pm
d