Bola Sepak

Maguire, Grealish menyinar tewaskan Ireland

Oleh AFP

London: Gareth Southgate mengakui dia berasa kagum dengan Jack Grealish selepas pemain sayap England itu mempamerkan aksi terpuji dan Harry Maguire meraikan prestasi baiknya ketika menang 3-0 dalam saingan persahabatan menentang Republik Ireland.

Hanya selepas 48 jam pengerusi Persatuan Bola Sepak England, Greg Clarke meletak jawatan kerana komen mengenai BAME dan komuniti LGBT, skuad kendalian Southgate tidak menunjukkan tanda terganggu dengan kontroversi berkenaan.

Selepas dibuang padang ketika England berdepan Denmark, Maguire diberikan peranan sebagai kapten buat pertama kali dan menjaringkan gol pembukaan di Wembley.

Ia adalah tonik tambahan buat Maguire, yang melalui kempen sukar akibat dicemari kes mahkamah di Greece serta persembahan buruk buat Manchester United dan England.

Jadon Sancho menjaringkan gol kedua England sebelum rehat dan Dominic Calvert-Lewin menjadikan 3-0 menerusi penalti babak kedua.

Ia sudah cukup bagi mengesahkan kemenangan pertama England berdepan Ireland sejak 1985.

Grealish, yang memulakan permainan menentang negara diwakilinya pada peringkat remaja, mencuri tumpuan di sayap kiri.

"Dua pemain di bahagian berkenaan, Jadon dan Jack, mereka ada kebebasan untuk ke mana-mana bahagian dan mencipta ancaman," kata Southgate.

"Saya rasakan mereka benar-benar beraksi baik. Sudah tentu apabila mereka berlari, mereka adalah masalah besar buat lawan."

Disiarkan pada: November 13, 2020 @ 9:04am
d