Bola Sepak

Tiga pasukan intai Shakir

Oleh Izzali Ismail

Alor Setar: Tiga pasukan Liga Malaysia (Liga M) dikhabarkan sedang berusaha mendapatkan khidmat pemain import Kedah, Shakir Hamzah selepas pemain itu mengumumkan hasrat meninggalkan skuad Hijau Kuning untuk musim ini.

Menurut sumber, tiga pasukan berkenaan adalah Perak, Kuala Lumpur dan Pahang yang sedang merangka pelan untuk mendapatkan pemain kuota Asean itu bagi memantapkan pasukan masing-masing untuk menghadapi saingan lebih mencabar pada musim 2021.

"Meskipun belum mendapat pengesahan lebih lanjut dari tiga pasukan berkenaan, namun saya menjangkakan Shakir mungkin akan memilih pasukan terbaik untuk diwakilinya pada musim depan. Tunggulah nanti segalanya ada kemungkinan." kata sumber berkenaan.

Sementara itu melalui satu maklumat audio yang diperolehi, Syahir mengesahkan beliau bakal meninggalkan Kedah seperti yang dinyatakannya juga dalam laman sosial.

"Seperti apa yang saya katakan di laman Instagram saya, memang betul saya akan meninggalkan Kedah untuk tahun ini yang sudah dua musim, ini tahun terakhir saya, saya pun bersyukur, nak tinggalkan tempat ini memang sedihlah..." katanya.

Melalui maklumat dari laman sosial pula pemain kelahiran Singapura itu meluahkan ucapan terima kasih kepada pasukan diatas segala kenangan manis sepanjang beliau bersama skuad Lang Merah sejak 2019.

"Selamat tinggal musim 2020, Terima kasih diatas kenangan indah bersama Kedah." katanya.

Selain itu dalam perkembangan yang sama, turut timbul maklumat dalam media sosial mengenai pemain import tengah kuota Asia, Amin Nazari dan pemain senior tempatan Khairul Helmi Johari juga dikatakan bakal meninggalkan pasukan Kedah dan ini sekali gus mencetus persoalan mengenai senarai nama pemain yang akan kekal dalam rancangan pasukan Kedah untuk musim depan.

Disiarkan pada: November 15, 2020 @ 11:50am
d