Bola Sepak

Khidmat Baddrol masih diperlukan - Sanusi

Oleh BERNAMA

Alor Setar: Khidmat kapten pasukan Kedah Baddrol Bakhtiar masih diperlukan, kata Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) Muhammad Sanusi Md Nor.

Beliau yang juga Menteri Besar Kedah berharap tonggak utama skuad Hijau Kuning berusia 32 tahun itu dapat terus berbakti setelah bersama pasukan Kedah sejak saingan Piala Presiden pada 2005/2006.

"Saya belum ada apa-apa maklumat mengenai (perpindahan) Baddrol, namun amat mengharapkan dia dapat kekal di Kedah," katanya pada sidang media selepas pembentangan Belanjawan Kedah 2021 di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Sanusi mengulas mengenai kemungkinan Baddrol berhijrah berikutan terdapat beberapa pasukan berminat mendapatkan khidmat pemain kebangsaan itu, malah laporan media turut mendedahkan pengakuan Baddrol bahawa dirinya 'didekati' sekurang-kurangnya empat pasukan yang ingin mendapatkan khidmatnya musim depan.

Sepanjang bersama Kedah, Baddrol membuat 296 penampilan sejak 2005 dan membantu Hijau Kuning meraih dua trofi Liga Super dan Liga Perdana, empat Piala Malaysia, tiga Piala FA serta satu Piala Sumbangsih.

Sepanjang bergelar pemain profesional, Baddrol juga tidak pernah berhijrah ke mana-mana pasukan Liga Malaysia (Liga-M) dan meledak 112 gol bersama pasukan Kedah.

Disiarkan pada: November 15, 2020 @ 6:39pm
d