Bola Sepak

Ikrar Rahadiazli

Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Permata baharu Terengganu FC (TFC), Muhammad Rahadiazli Rahalim berikrar untuk meningkatkan prestasinya sebelum pasukannya beraksi dalam kancah Piala AFC musim depan.

Anak kepada pemandu bot pelancong di Pulau Redang yang juga pelatih skuad kebangsaan bawah-19 itu bagaimanapun sedar bukan tugas mudah buatnya untuk beraksi di pentas Asia itu walaupun kerap disenaraikan dalam kesebelasan utama skuad Penyu musim ini.

Ini kerana Rahadiazli perlu bersaing dengan dua lagi rakan sepasukan yang lebih berpengalaman iaitu Mohd Shamirza Yusoff yang pernah beraksi di pentas Piala AFC pada 2012 selain seorang lagi penjaga gol berpengalaman, Muhammad Ilham Amirullah Razali.

"Selain aksi liga domestik musim depan, saya begitu teruja untuk beraksi dalam saingan Piala AFC lebih-lebih lagi kancah itu sudah pasti membabitkan kelab-kelab gergasi di rantau Asia.

"Oleh itu saya bertekad untuk meningkatkan lagi prestasi bagi mengintai peluang disenaraikan dalam kesebelasan utama pasukan," kata bekas pelajar Sekolah Kebangsaan Telaga Papan dan Sekolah Menengah Kebangsaan Penarik, Setiu itu.

Mengulas pencapaiannya musim ini, penjaga gol berusia 19 tahun kelahiran Kampung Telaga Papan, Setiu akui gembira apabila musim pertamanya bersama skuad Penyu membuahkan hasil yang begitu bermakna dalam karier bola sepaknya.

"Ini adalah rezeki saya dan rakan sepasukan, pencapaian ini begitu membanggakan memandangkan musim pertama saya dalam Liga Super kami berjaya layak ke Pentas Asia.

"Peluang bersaing dengan kelab ternama luar negara nanti sudah pasti bakal memberikan pengalaman baharu selain ia mampu mematangkan lagi corak permainan dan prestasi saya," katanya yang pernah membantu pasukan Belia Terengganu muncul juara Piala Belia musim lalu.

Musim ini, penjaga gol muda berketinggian 1.90 meter itu yang mengidam untuk menyarung jersi pasukan Harimau Malaya membuat enam penampilan bersama TFC dalam saingan Liga Super dan Piala Malaysia.

Disiarkan pada: November 16, 2020 @ 6:16pm
d