Bola Sepak

Devan berhajat kembali ke Negeri Sembilan

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: "Jika ada tawaran yang munasabah daripada pengurusan Kelab Bola Sepak Negeri Sembilan (NSFC), sudah tentu ia menjadi keutamaan saya," kata ketua jurulatih Petaling Jaya (PJ) City FC, K Devan.

Pengendali berusia 53 tahun itu akui namanya dikaitkan sebagai ketua jurulatih baharu buat skuad Hobin Jang Hobin oleh peminat dan penyokong bola sepak negeri itu.

Beliau yang pernah membimbing Selangor, Melaka, Johor FC, Pulau Pinang, FELDA United berkata, pihaknya tidak ada halangan jika ditakdirkan kembali membimbing Negeri Sembilan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

"Jika Negeri Sembilan memerlukan khidmat saya sebagai ketua jurulatih, sudah tentu akan menerimanya kerana ia menjadi keutamaan saya untuk berbakti kepada negeri kelahiran.

"Tapi tawaran itu biarlah berpaksikan kepada perancangan yang baik oleh NSFC seperti berhasrat membawa pasukan ke Liga Super," katanya kepada NSTP, di sini, hari ini.

Devan bagaimanapun berkata, setakat ini belum ada perbincangan antaranya dengan NSFC, malah tiada surat tawaran rasmi atau apa juga maklumat yang diterimanya daripada pengurusan berkenaan mengenai pelantikan ketua jurulatih baharu Negeri Sembilan.

Menurutnya, kontrak bersama PJ City akan berakhir hujung bulan ini dan beliau juga belum mengetahui kedudukannya dengan pasukan The Phoenix itu.

Katanya, pihaknya sedang menunggu perkembangan lanjut daripada majikannya itu sebelum apa-apa keputusan mengenai perancangannya bagi musim depan.

"Setakat ini saya belum menerima apa-apa perkembangan. Mungkin dalam tempoh terdekat ini mereka (PJ City) akan membuat keputusan mengenai kedudukan jurulatih pasukan bagi musim depan," kata bekas pemain kebangsaan itu.

Devan pernah menjulang nama Negeri Sembilan apabila membawa skuad itu meraih kejuaraan Piala FA pada 2003 disusuli merangkul kejuaraan Liga Super pada musim 2005/2006.

Percubaan beliau untuk menjulang pasukan itu buat kali kedua pada 2015, bagaimanapun tidak kesampaian, apabila terus kekal beraksi di Liga Perdana.

Musim ini, Negeri Sembilan yang dibimbing Sazali Saidun menamatkan saingan di tangga kedua terbawah carta Liga Perdana.

Berikutan pencapaian yang kurang memberangsangkan itu hampir pasti pengurusan NSFC bakal melantik ketua jurulatih yang baharu untuk musim depan.

Disiarkan pada: November 16, 2020 @ 6:21pm
d