Bola Sepak

Aidil hargai jasa Shakir Hamzah

Oleh Izzali Ismail

Alor Setar: Keputusan melepaskan pemain pertahanan, Shakir Hamzah adalah langkah yang sukar dibuat bagi pengendali Kedah, Aidil Sharin Shahak untuk persiapan menghadapi musim 2021 yang sangat mencabar.

Penampilan hebat pemain kuota Asean berusia 28 itu sudah dianggap cemerlang selepas dia membantu kejayaan pasukan termasuk merekodkan 48 penampilan dan meledak tujuh gol sejak bersama Kedah pada 2019.

"Saya akui terpaksa melakukan satu keputusan yang sukar sejak bersama Kedah apatah lagi Shakir adalah rakan senegara saya dari Singapura dengan pengalamannya yang luas dan profesional telah banyak membantu Kedah mencapai kejayaan sejak 2019.

"Keputusan yang saya ambil ini memang sangat berat kerana kita tahu beliau seorang pemain yang sangat komited dan sentiasa memberi aksi 100 peratus ketika beraksi, namun disebabkan perancangan pasukan yang hanya memerlukan seorang import di ruang pertahanan pada musim depan, saya terpaksa membuat penghitungan sedemikian.

"Jadi dengan kepentingan yang sudah difikirkan secara menyeluruh dan mendalam, menyebabkan saya tiada pilihan lain dalam menentukan posisi yang mahu dibentuk untuk musim depan." katanya.

Shakir yang memiliki kebolehan tersendiri dalam melaksanakan teknik terbaik mengawal benteng Kedah ini juga diyakini Aidil untuk terus menyinar dalam kerjayanya di masa depan bersama pasukan yang akan diwakilinya pada masa depan.

"Sebagai ketua jurulatih saya ingin mengucapkan penghargaan dan terima kasih diatas pengorbanannya bersama Kedah dalam tempoh dua tahun ini dan saya yakin beliau akan terus berjaya di masa depan walau di mana beliau beraksi.

"Buat pemain Kedah sudah pastinya ungkapan 'Biar Jasa Jadi Kenangan' akan menjadi azimat dan kenangan manis untuk beliau bawa bersama segala kejayaan yang pernah beliau kecapi sepanjang perjalanan bersama pasukan.

Shakir turut menempa namanya sebagai antara pemain import pertahanan terbaik pernah Kedah miliki di atas kemahirannya dalam melakukan halangan pantas, kawalan yang baik, kepantasan dalam larian dan juga sebagai penjaring gol.

Disiarkan pada: November 17, 2020 @ 11:31am
d