Bola Sepak

Rajagobal antara calon latih Brunei

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Bekas pengendali skuad Harimau Malaya Datuk K Rajagobal dikatakan sebagai antara tiga calon yang disenarai pendek sebagai ketua jurulatih baharu pasukan bola sepak kebangsaan Brunei.

Menurut sumber, Rajagobal, 64, disenarai pendek selepas satu proses pemilihan teliti berdasarkan butiran peribadi lengkap yang dihantar ke Persatuan Bola Sepak Kebangsaan Brunei Darussalam (NFABD).

Beliau berkata pengendali yang membawa Malaysia muncul juara Kejuaraan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2010 itu, bersama dua lagi calon melalui proses temu duga secara maya dikendalikan NFABD pada 28 Okt lalu, sebelum keputusan akhir akan diumumkan dalam tempoh terdekat.

"Ia pasti menjadi cabaran besar buat beliau (Rajagobal) sekiranya terpilih memandangkan bola sepak kini antara sukan yang terjejas disebabkan pandemik Covid-19, selain mengambil kira tugas menyuntik pembaharuan dalam usaha meningkatkan prestasi Brunei.

"Tetapi Rajagobal sudah buktikan kewibawaan dan kemampuannya sebagai jurulatih baik di peringkat kelab mahupun pasukan kebangsaan dan beliau mampu menggalas tanggungjawab ini dengan sangat baik," katanya kepada Bernama, hari ini.

Pasukan Brunei kini menduduki ranking ke-191 dunia dan antara dua pasukan tercorot dalam kalangan negara ASEAN bersama Timor Leste, yang berada di kedudukan ke-197.

Kewibawaan Rajagobal yang diberi jolokan 'King Gobal' di pentas antarabangsa turut dibuktikan dengan kejayaan membimbing skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan, mengakhiri kemarau 20 tahun meraih pingat emas di temasya Sukan SEA 2009 di Laos.

Di peringkat kelab, beliau yang memiliki pengalaman 30 tahun selaku jurulatih telah menabur bakti bersama beberapa pasukan utama antaranya PKNS FC dari 1990-1998, Selangor (1999-2000), Kelantan (2001-2002), Sarawak (2015-2016) dan kembali membimbing PKNS FC pada musim 2017-2019.

Ketika bersama Selangor, Rajagobal bertanggungjawab membawa skuad Gergasi Merah muncul naib juara Liga Perdana 2 pada tahun pertamanya sebelum menjulang kejuaraan Liga Perdana 1 pada musim berikutnya.

Beliau turut memiliki pengalaman sebagai pemain apabila pernah menyarung jersi Selangor, Sabah, serta PKNS FC dan pernah beraksi bersama beberapa legenda bola sepak tanah air antaranya Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari dan Datuk Santokh Singh

Disiarkan pada: November 17, 2020 @ 5:56pm
d