Bola Sepak

Perancis bangkit benam Sweden

Oleh AFP

Paris: Olivier Giroud meneruskan rekod cemerlang penjaring gol buat Perancis ketika penyandang juara Piala Dunia itu bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Sweden, 4-2 dalam saingan Liga Negara-Negara UEFA, pagi ini.

Rembatan yang membias daripada Viktor Claesson memberikan pelawat gol pendahuluan di Stade de France, tetapi Giroud menyamakan kedudukan dan Benjamin Pavard meletakkan Perancis di depan sebelum rehat separuh masa.

Giroud kemudian menanduk masuk gol hasil hantaran Kylian Mbappe untuk menjadikan kedudukan 3-1 dalam tempoh satu jam permainan, sekali gus meledak 44 gol dalam 105 penampilan buat negaranya.

Kingsley Coman meledak gol pada minit akhir perlawanan buat Perancis selepas Robin Quaison menjaringkan gol kedua Sweden dalam aksi itu.

Selepas mengambilalih rekod pencapaian Michel Platini dengan 41 gol buat Les Bleus, Giroud kini menghampiri rekod keseluruhan dilakukan Thierry Henry yang mencatat 51 gol.

Pemain berusia 34 tahun itu tidak selalunya menjadi pemain pilihan bagi skuad Perancis tetapi kekal sebagai pemain penting buat jurulatih, Didier Deschamps di sebalik kerap diketepikan dari kelabnya Chelsea selepas bermula dalam kesebelasan utama hanya sekali pada musim ini di Piala Liga.

"Saya sudah terbiasa dicerca dan diejek. Ia adalah sebahagian daripada pengalaman saya, dalam karier ini, tetapi ia menjadikan saya lebih kuat," kata Giroud kepada stesen televisyen M6.

Perancis sudah mengesahkan tempat utama dalam Liga A, Kumpulan 3 mengatasi penyandang juara Portugal, sekali gus layak ke pusingan akhir Liga Negara-Negara pada Oktober tahun depan.

Sementara Sweden pula menamatkan saingan di kedudukan tercorot kumpulan di belakang Croatia.

Disiarkan pada: November 18, 2020 @ 7:42am
d