Bola Sepak

Salah positif Covid-19 lagi

Oleh AFP

Kaherah: Penyerang Liverpool dan Mesir, Mohamed Salah diuji positif Covid-19 buat kali kedua ketika berdepan tugas antarabangsa, menurut Persatuan Bolasepak Mesir, hari ini.

Salah menjalani "ujian calitan untuk mengenal pasti virus Covid-19 dan keputusannya adalah positif."

Pemain Arsenal, Mohamed Elneny turut menjalani ujian sekali lagi dan keputusannya juga positif, kata badan induk bola sepak negara itu.

Tanpa kelibat Salah, Mesir menewaskan Togo, 3-1 dalam saingan kelayakan Piala Negara Afrika 2021 pada Selasa dan menduduki tempat teratas kumpulan.

Menerusi ciapan di Twitter Salah berkata: "Saya berterima kasih kepada semua orang kerana mengirimkan pesanan yang mendorong dan mendoakan kesihatan saya.

"Saya yakin akan kembali ke padang tidak lama lagi."

Penyerang yang menjaringkan lapan gol di peringkat liga buat Liverpool musim ini, mungkin terlepas aksi bersama juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu bagi dua perlawanan akan datang.

Liverpool akan berdepan Leicester dalam saingan EPL pada awal pagi Isnin ini sebelum menentang wakil Itali, Atalanta dalam saingan Liga Juara-Juara di Anfield pada 26 November ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 19, 2020 @ 10:31am
    d