Bola Sepak

TFC dijangka umum pengarah teknikal

Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd akan melantik pengarah teknikal bagi memastikan pembangunan bola sepak negeri terus berdaya saing terutama dalam mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga M) dan Piala AFC musim depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ab Rasid Jusoh berkata, pelantikan jawatan itu adalah selari dengan hala tuju bola sepak negeri yang mahu mewujudkan DNA atau kesinambungan pemain bermula dari peringkat akar umbi lagi.

"Kita sedang berusaha untuk melantik pengarah teknikal bagi meningkatkan lagi prestasi pemain dan pasukan.

"Sekarang kita ada tiga calon yang sesuai untuk dilantik mengisi jawatan itu (pengarah teknikal) termasuk calon tempatan dan luar negara.

"Namun setakat ini kita belum membuat keputusan muktamad lagi kerana dalam proses menilai, Insya Allah sebelum akhir bulan ini kita akan adakan mesyuarat untuk membuat keputusan," kata Ab Rasid.

Pada 2016, skuad Penyu pernah melantik pengarah teknikal kelahiran England, Mike Mulvey yang juga bekas pemain kelab tersohor Liga Perdana Inggeris, Manchester United.

Musim lalu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bercadang untuk menetapkan jawatan pengarah teknikal sebagai mandatori dalam pelesenan kelab setiap pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Bagaimanapun, cadangan itu bagaikan mencurah air di daun keladi kerana ada pasukan dalam Liga M tidak mempunyai pengarah teknikal disebabkan pelbagai faktor termasuk masalah kewangan.

Disiarkan pada: November 19, 2020 @ 12:14pm
d