Bola Sepak

Selamat tinggal UKM, FELDA United

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Kalendar Liga Malaysia (Liga M) pada tahun depan kekurangan dua pasukan apabila FELDA United dan UKM FC digugurkan secara rasmi selepas rayuan mereka berkaitan proses penswastaan kelab bola sepak (FC) bersyarikat sebelum ini tidak diterima oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Perkara terbabit disahkan Setiausaha Agung Persatuan FAM Stuart Ramalingam yang memaklumkan keputusan muktamad terbabit hasil perbincangan pihak berkaitan.

"Kita sudah meneliti rayuan yang dikemukakan tetap rayuan dua pasukan itu ditolak. Keputusan ini muktamad dan mereka tidak akan beraksi dalam Liga M 2021.

"Sekalipun selepas ini mereka datang dengan apa apa perkembangan terbaharu contohnya kalau ada penajaan baharu atau sebagainya, kita tidak akan terima," katanya.

Sebelum ini, FAM memutuskan dua pasukan itu gagal dalam proses penswastaan FC bersyarikat selepas kedudukan kewangan pelabur baharu untuk menampung kos pengendalian bagi saingan musim depan didapati tidak cukup kukuh.

Keputusan itu sekali gus menyebabkan skuad 'The Fighters' dan skuad 'The Varsity Boys' itu tidak layak untuk menyertai liga anjuran Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bagi musim 2021 sama ada di Liga Super atau Liga Perdana.

Namun, mereka ketika itu diberikan talian hayat apabila permohonan rayuan akan dipertimbangkan oleh jawatankuasa berkaitan tetap perkembangan terbaharu ini menyaksikan harapan mereka akhirnya 'lebur'.

Bagaimanapun, Stuart menjelaskan situasi itu tidak bermakna FELDA United dan UKM FC akan 'berkubur' dan tidak lagi dibenarkan beraksi memandangkan mereka masih boleh terbabit dalam saingan Liga M3.

"Mereka hanya tidak dibenarkan bermain dalam Liga Super atau Liga Perdana tetapi masih lagi boleh bermain di Liga M3 sekiranya mereka mahu terus beraksi.

"Kalau mereka mahu kembali beraksi di Liga Perdana pada masa akan datang, mereka tetap perlu mengikuti proses yang sama dan mengharungi proses penswastaan juga," katanya.

Disiarkan pada: November 19, 2020 @ 9:29pm
d