Bola Sepak

Dortmund rugi RM19.4 juta setiap perlawanan

Oleh AFP

Berlin: Ketua Pegawai Eksekutif Borussia Dortmund, Hans-Joachim Waztke mendedahkan setiap perlawanan yang berlangsung tanpa penonton menyaksikan kelab Bundesliga itu kerugian pendapatan sebanyak 4 juta euro (RM19.4 juta).

Signal Iduna Park adalah stadium terbesar di Jerman yang mampu memuatkan seramai 81,000 penonton pada satu-satu masa.

Penyokong ketika ini tidak dibenarkan untuk menyaksikan perlawanan Bundesliga di stadium sebagai sebahagian daripada langkah kerajaan untuk mengurangkan penularan pandemik Covid-19.

Naib juara Bundesliga musim lalu itu mencatatkan kerugian selepas tahun kewangan berakhir 2019/20 sebanyak 44 juta euro (RM213.9 juta) berikutan pandemik itu.

Pada mesyuarat agung tahunan yang dilangsungkan secara dalam talian, Watzke bimbang kerugian yang dialami akan mencecah lebih 75 juta euro (RM364.7 juta) musim ini.

Bagaimanapun bos Dortmund itu memberi jaminan kelab mempunyai 'kecairan aset yang mencukupi untuk memastikan mereka tidak berdepan risiko lebih besar'.

Selain mendedahkan kerugian yang dialami pada setiap perlawanan, Watzke berkata kelab dapat menjimatkan gaji pasukan serta kakitangan kelab sebanyak 11 juta euro (RM53.4 juta).

Dortmund kini menduduki tangga ketiga Bundesliga selepas tewas 2-3 kepada pendahulu liga, Bayern Munich sebelum aksi antarabangsa.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 20, 2020 @ 8:37am
    d