Bola Sepak

Spurs berdepan ujian sebenar

Oleh AFP

London: Reputasi Tottenham untuk memburu kejuaraan liga bakal diuji apabila mereka melayan kunjungan Manchester City awal pagi Ahad ketika aksi Liga Perdana Inggeris bersambung semula selepas tempoh rehat antarabangsa.

Spurs hanya kurang satu mata di belakang Leicester selaku pendahulu dengan Chelsea dan Aston Villa berpeluang merampas tangga teratas apabila masing-masing bertemu Newcastle dan Brighton.

Juara bertahan, Liverpool dilihat sudah terbeban dengan jadual padat apabila kelab bimbingan Jurgen Klopp itu berdepan isu kecederaan menjelang perlawanan bertemu Leicester di Anfield.

Tottenham di bawah bimbingan Jose Mourinho tidak pernah tewas dalam tujuh perlawanan liga dan dengan prestasi cemerlang gandingan Harry Kane serta Son Heung-min, meningkatkan lagi impian kelab itu untuk memenangi kejuaraan liga buat kali pertama selepas 60 tahun.

Bagaimanapun Spurs bakal menerima ujian sebenar apabila bakal bertemu City, Chelsea, Arsenal, Liverpool dan Leicester selepas ini.

City menduduki tangga ke-10 dengan ketinggalan enam mata berbanding pendahulu liga tetapi masih kurang satu perlawanan.

Selepas permulaan yang sukar kerana kurang melakukan persiapan, faktor kecederaan, kes Covid-19 dan melalui jadual padat, kunjungan ke Tottenham juga menjadi daya pengukur sama ada City mampu bangkit semula.

Skuad bimbingan Guardiola tidak pernah tewas dalam sembilan perlawanan di kesemua pertandingan namun mereka tampak sukar menjaringkan gol apabila hanya mampu meledak satu gol pada setiap lima perlawanan terakhir liga.

Kekurangan penyerang berkaliber sepanjang kempen setakat ini kerana kecederaan menimpa Gabriel Jesus dan Sergio Aguero nyata menjejaskan prestasi City.

Disiarkan pada: November 20, 2020 @ 10:34am
d