Bola Sepak

Bernhardt terus bimbing UiTM FC

Oleh Norzamira Che Noh

Shah Alam: UiTM FC mengekalkan khidmat Frank Bernhardt sebagai ketua jurulatih untuk musim 2021 selepas prestasi membanggakan ditonjolkan pasukan itu pada musim ini.

Presidennya, Prof Dr Azizan Abdullah berkata pihak pengurusan UiTM FC yakin dengan kemampuan Bernhardt untuk memimpin pasukan berkenaan bagi musim kedua serta meneruskan pencapaian yang gemilang.

"Dalam tahun pertama pembabitan UiTM FC di Liga Super, kita berjaya memberi impak yang baik terutamanya untuk pasukan yang sebelum ini dianggap tidak mempunyai peluang atau pasukan kerdil dan pelengkap dalam liga berkenaan.

"Kita berjaya memberi saingan yang kuat kepada pasukan gergasi dan berpengalaman malah pencapaian di tempat ke enam serta layak ke suku akhir Piala Malaysia adalah kejayaan yang manis untuk UiTM.

"Justeru, saya serta pengurusan UiTM FC yakin dengan kemampuan Bernhardt untuk terus memimpin pasukan bagi musim 2021," katanya pada Majlis Memperkenalkan Ketua Jurulatih UiTM FC Musim 2021 di Dewan Kompleks Sukan UiTM, hari ini.

Beliau berkata, selain meneruskan prestasi cemerlang serta kekal dalam liga, pasukan UiTM FC diharapkan berjaya layak ke AFC.

Pada majlis itu, pengurusan UiTM FC turut melanjutkan kontrak sembilan pemain tempatan iaitu Azfar Arif, Azam Jais, Muhammad Afif Asyraf, Muhamad Faizal, Ahmad Khuzaimi Piee, Muhamad Nazshran Elias, Mohd Syafiq Alhafiz, Muhamad Nazirul Hasfh dan Muhamad Rafie.

Selain itu Azizan berkata, pihaknya kini masih dalam perbincangan peringkat akhir dengan tiga lain pemain.

"Sesi pemilihan pemain tempatan akan diadakan secara terbuka pada Disember ini manakala bagi pemain import, ketua jurulatih bersama panel 'talent scouting' UiTM FC akan duduk bersama untuk mendapatkan pemain import yang berkualiti," katanya.

Dalam pada itu, Bernhardt optimis untuk meneruskan kecemerlangan pasukan bimbingannya pada musim akan datang.

Katanya, perancangan pasukan itu jelas malah mereka berjaya membuktikan bahawa UiTM FC bukan pasukan satu musim sahaja ataupun pasukan yang hanya bertuah.

"Penonton sudah melihat betapa bagus (prestasi) kita dan ia dibuktikan apabila ramai pemain pasukan ini menerima tawaran daripada kelab lain untuk musim akan datang.

"Walaupun terdapat banyak khabar angin (mengenai tawaran untuk menjadi ketua jurulatih pasukan lain), saya rasa lebih baik untuk kekal dengan UiTM FC kerana saya suka bekerja dengan pemain serta pengurusan pasukan ini," katanya.

Beliau berkata, kecemerlangan pada musim 2020 menjadikannya lebih bermotivasi untuk melakukan yang lebih baik pada musim akan datang.

Disiarkan pada: November 20, 2020 @ 6:51pm
d