Bola Sepak

Harimau Kumbang bukan pasukan pelengkap

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Ketua pasukan Pulau Pinang, Azmi Muslim tidak mahu lagi skuad Harimau Kumbang sekadar menjadi pasukan pelengkap dalam pentas Liga Super pada musim depan dan yakin mereka memiliki kualiti untuk memberikan saingan kepada semua pencabar lain di pentas tertinggi saingan Liga Malaysia (Liga-M).

Malah, dia berasakan kejayaan menjulang trofi Liga Perdana musim ini umpama langkah pertama buat Pulau Pinang dalam mengembalikan zaman kegemilangan pasukan itu yang cukup gah di persada bola sepak tempatan terutama pada era 70-an dan 90-an.

Dibekalkan ramai pemain muda berpotensi, Azmi berasakan skuad itu mungkin hanya memerlukan beberapa penambahan pemain berkualiti dan berpengalaman bagi menambahkan lagi pilihan pemain di segenap posisi.

"Semua orang tahu perbezaan permainan Liga Super dan Liga Perdana namun saya dapat berasakan pemain-pemain Pulau Pinang ada kualiti Liga Super kerana kami banyak mengadakan aksi persahabatan dengan pasukan dari Liga Super sebelum ini, jurang itu tidak terlalu jauh.

"Namun saya rasa pengurusan pasti ada misi tersendiri memandangkan aksi di Liga Super lebih kompetitif serta memerlukan pilihan berkualiti yang lebih ramai, maka mungkin mereka akan mendapatkan pemain baharu menguatkan pasukan.

"Cuma saya dapat rasakan musim 2020 ibarat permulaan buat Pulau Pinang dalam menempa nama kembali seperti mana yang ramai ketahui di era sebelum ini, iaitu Pulau Pinang cukup gah dalam saingan liga tempatan," katanya.

Kali terakhir Pulau Pinang berada di saingan Liga Perdana ialah pada musim 2017 selepas dua musim bersaing di Liga Super.

Sebelum itu, Pulau Pinang pernah tersingkir ke Liga Perdana pada 2011 sekali gus menamatkan rekod cemerlang 18 tahun tidak pernah jatuh ke Liga Perdana / Divisyen Dua.

Sementara itu, Azmi masih mahu kekal menabur bakti bersama Pulau Pinang biarpun usianya bakal mencecah ke 35 tahun pada musim depan kerana berasakan dirinya masih mampu menawarkan sesuatu kepada pasukan.

Dia juga mengakui sebenarnya tidak puas membantu Pulau Pinang sepanjang musim ini walaupun berjaya membawa kejuaraan Liga Perdana kerana hanya berkesempatan bermain dalam 11 perlawanan.

"Selagi saya mampu berlari dan bermain serta pasukan masih mahukan khidmat saya, saya akan terus bermain dan belum tentu Pulau Pinang adalah yang terakhir.

"Ada satu perkara yang buat saya ralat iaitu tidak puas membantu pasukan kerana liga pada musim ini begitu pendek dan sumbangan yang saya dapat berikan tidaklah terlalu banyak.

"Harap musim depan segala-galanya akan berjalan lancar dan masih ada ruang buat saya untuk terus bermain dengan Pulau Pinang bagi terus melakar kejayaan," katanya.

Disiarkan pada: November 20, 2020 @ 8:15pm
d