Bola Sepak

Rooney sokong larangan menanduk bola

Oleh AFP

London: Pemegang rekod jaringan England, Wayne Rooney berkata, kanak-kanak perlu diharamkan untuk menanduk bola, mengikuti contoh yang dilakukan oleh Amerika Syarikat (AS), bagi mengurangkan potensi mendapat penyakit dementia (hilang daya ingatan) di kemudian hari.

Bekas bintang Bercelona dan England, Gary Lineker dan pemenang Piala Dunia 1966, Geoff Hurst adalah di antara legenda yang menyarankan peraturan baru itu diperkenalkan dengan menghalang kanak-kanak menanduk bola.

Kajian yang dilakukan di Scotland menyimpulkan pemain bola sepak profesional tiga setengah kali akan menghidap dementia daripada populasi umum.

Rooney memberitahu Dailt Telegraph dia menyaksikan sendiri peraturan di AS ketika beraksi bersama DC United.

"Ketika kami tinggal di AS, anak sulung saya berada dalam pasukan bola sepak dan menanduk bola dilarang dalam latihan mahupun permainan.

"Jika bola datang ke arah kepala mereka, mereka akan mengelak dan membiarkannya, jadi ia mungkin boleh menjadi amalan di sini.

"Secara jelasnya, sesuatu perubahan harus dilakukan agar ia tidak memberi impak kepada generasi pemain ketika ramai anak muda meninggal dunia akibat penyakit ini," katanya.

Disiarkan pada: November 21, 2020 @ 12:22am
d