Bola Sepak

Bernhardt tak gusar hilang tonggak import

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Walaupun kehilangan separuh kekuatan menjelang saingan Liga Super musim depan, pengendali UiTM FC, Frank Bernhardt tetap tenang dan percaya kualiti sama mampu diberikan barisan pemainnya nanti.

Mengakhiri kedudukan di tangga keenam Liga Super musim ini banyak dibantu oleh kecemerlangan lima tonggak importnya iaitu Gustavo dos Santos, Mark Hartmann, Rabih Ataya, Ousmane Fane dan Victor Nirennold.

Bagaimanapun, kelima-lima tonggak import berkenaan tidak akan bersama skuad The Lion Troops selepas masing-masing menerima tawaran lebih lumayan daripada beberapa pasukan dalam Liga Malaysia (Liga-M).

"Saya akui mereka (lima import) adalah pemain utama kami musim ini tetapi untuk musim depan kami perlu mencari pemain lain.

"Kami ada barisan pencari bakat yang sedang berusaha menilai kemampuan dan prospek untuk mengisi kekosongan mereka.

"Saya yakin kita boleh beri sesuatu musim depan dan cuba merealisasikan sasaran berada dalam kelompok enam terbaik seperti mana yang dicapai musim ini," katanya yang melanjutkan kontrak setahun lagi bersama pasukan.

UiTM FC yang menyediakan bajet paling rendah antara semua 12 pasukan iaitu sekitar RM4 juta, hampir mencipta kejutan musim ini sebagai pendatang baharu selepas berjaya menempatkan diri dalam kelompok enam pasukan terbaik biarpun hanya berstatus pasukan Universiti.

Ketika ada yang menganggap mereka bakal menjadi pasukan belasahan, anak buah Bernhardt membuktikan sebaliknya apabila mengejutkan beberapa pasukan gergasi termasuk menundukkan Pahang 1-0, Terengganu FC (2-1) dan mengikat Kedah 1-1 serta Selangor (3-3).

Bernhardt yang berasal dari Jerman dan pernah membimbing skuad bawah 22 (B-22) tahun negara mengakui selesa bersama pengurusan UiTM FC yang disifatkan amat profesional.

"Saya sangat gembira kekal bersama UiTM kerana saya sangat berpuas hati dengan cara kerja bersama pasukan ini, untuk apa saya beralih pasukan kerana gembira bekerjasama dengan pasukan ini.

"Motivasi terbaru adalah memastikan pasukan menjadi lebih baik. Kami mahu membuktikan UiTM FC bukan pasukan untuk mememenuhi saingan liga dan membuktikan kemampuan sebenar pasukan," katanya.

Disiarkan pada: November 21, 2020 @ 2:29pm
d