Bola Sepak

Nasib Dollah, Ahmad jadi tanda tanya

Oleh Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Kedudukan pengendali skuad Tok Gajah Dollah Salleh musim depan masih menjadi tanda tanya peminat setia Pahang sama ada kekal memikul tugas jurulatih atau berlaku sebaliknya.

Walaupun pasukan Pahang dilihat gagal mencatat kejayaan diharapkan dalam saingan Liga Super musim ini namun kewibawaan bekas jurulatih kebangsaan itu tidak perlu dipertikaikan apabila berjaya membentuk pasukan yang berkesan hasil gandingan pemain tempatan dan import sejak memikul tugas itu.

Kelebihan lain milik Dollah ialah apabila bijak menghidu kebolehan pemain muda untuk diketengahkan dalam pasukan hingga berada dalam kesebelasan utama.

Namun kini kedudukan bergantung kepada pucuk pimpinan Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) yang akan membuat keputusan tidak lama lagi.

Dollah yang juga bekas penyerang berbisa kebangsaan ketika diajukan soalan masa depan bersama Tok Gajah musim depan hanya menjawab ringkas 'Tak tahu lagi'.

Jawapan sama turut diberikan penolongnya Ahmad Yusof yang masih menunggu isyarat daripada PBNP.

Sementara itu beberapa pemain Tok Gajah tidak disambung kontrak, antara mereka Mohd Faisal Abdul Halim dan Dickson Nwakaeme.

Kini peminat setia Tok Gajah ingin melihat pasukan Pahang berwajah baharu seterusnya mencipta banyak kejayaan musim depan, kelibat pemain import yang lebih berkualiti setaraf dengan status mereka.

Selain itu barisan pemain tempatan juga ditagih dapat memberi persembahan terbaik setanding dengan harapan yang digalas, peminat tetap setia memberi sokongan.

Disiarkan pada: November 21, 2020 @ 7:22pm
d