Bola Sepak

Belum putus destinasi musim depan - Tuck

Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Selepas kontraknya tidak disambung, bekas kapten Terengganu FC (TFC), Lee Tuck menjelaskan belum pasti destinasi baharunya musim depan walaupun mendapat tawaran daripada beberapa pasukan Liga Malaysia (Liga M) dan luar negara.

Pemain yang digelar 'Rooney Ganu' akui kini berbelah bagi sama ada terus bermain dalam kancah Liga M ataupun meninggalkan bumi Malaysia selepas empat tahun berkelana di negara ini.

Bagaimanapun, bekas ayam tambatan TFC berusia 32 tahun itu yang dikaitkan dengan Pahang, PJ City, Kuala Lumpur dan Perak akui hatinya masih berminat untuk beraksi dalam saingan Liga M lebih-lebih lagi dia mahu mengikut jejak pemain kelahiran Gambia, Mohamadou Sumareh menjadi pemain naturalisasi.

"Saya ada menerima beberapa tawaran daripada pasukan dalam Malaysia dan juga pasukan dari Asia, tapi setakat ini saya belum lagi membuat keputusan muktamad, namun hati masih berminat untuk terus berada di Malaysia, jika ada perkhabaran nanti, saya akan umumkan pasukan bakal saya sertai musim depan," kata pemain kelahiran Halifax England kepada Sukan NSTP.

Jumaat lalu pemain berdarah campuran Malaysia-England itu mengakui sedih dan berat hati untuk meninggalkan pasukan yang diwakili selama tiga musim selepas namanya tiada dalam perancangan pasukan TFC yang bakal bersaing dalam kancah Piala AFC musim depan selain Liga M.

"Saya sudah lama bersama dengan pasukan TFC, tapi bila tahu nama saya tiada dalam perancangan skuad itu saya begitu sedih untuk pergi, saya hanya mampu mengenang saat-saat gembira bersama TFC, apa-apapun saya terpaksa pergi dengan cara yang baik dan berharap skuad ini akan terus maju dan melakukan yang terbaik," kata Tuck.

Sementara itu menurut sumber, setakat ini hanya seorang sahaja pemain import daripada pasukan TFC dan TFC II musim ini hampir pasti dikekalkan manakala selebihnya masih samar termasuk pemain TFC II, Bruno Suzuki, Dechi Marcel dan Jordan Mintah serta dua lagi pemain import TFC iaitu Babacar Diallo dan Sanjar Shaakhmedov yang belum pasti statusnya.

"Setakat ini hanya pertahanan TFC II, Argzim Redzovic hampir pasti kekal bersama pasukan musim depan kerana masih ada setahun lagi kontrak .

"Selebihnya masih belum pasti kerana kita belum membuat keputusan muktamad, jika tidak ada aral sebelum 30 November ini akan diputuskan dalam mesyuarat," katanya.

Jika benar hanya seorang sahaja pemain import musim lalu dikekalkan, ia bakal menyaksikan TFC Sdn Bhd melakukan rombakan besar-besaran terhadap tonggak import mereka musim ini.

Difahamkan faktor permintaan gaji yang tinggi selain perancangan baharu barisan jurulatih memaksa pembaharuan perlu dilakukan bagi memastikan skuad TFC itu benar-benar mantap musim depan.

Disiarkan pada: November 22, 2020 @ 7:49pm
d