Bola Sepak

Liverpool pamer aksi konsisten benam Leicester

Oleh AFP

London: Liverpool mengetepikan faktor krisis kecederaan untuk menyamai mata dengan Tottenham di puncak Liga Perdana Inggeris apabila mencatat kemenangan 3-0 ke atas Leicester, pagi ini.

Penyandang juara itu yang beraksi tanpa Virgil van Dijk, Joe Gomez, Trent Alexander-Arnold, Jordan Henderson, Thiago Alcantara, Xherdan Shaqiri dan Alex Oxlade-Chamberlain, ketika penjaring terbanyak Mohamed Salah tidak dapat diturunkan kerana positif ujian Covid-19.

Namun skuad kendalian Jurgen Klopp tetap mempamerkan persembahan terbaik mengatasi Leicester yang memulakan hujung minggu lalu di puncak carta liga.

Gol sendiri Jonny Evans berpunca daripada sepakan sudut James Milner memberikan jaringan pembukaan buat Liverpool.

Diogo Jota kemudian menjadi pemain tunggal Liverpool yang menjaringkan gol dalam empat penampilan pertama di gelanggang sendiri dalam saingan liga selepas menanduk masuk hantaran Andy Robertson.

Hanya beberapa aksi yang diselamatkan dengan ketangkasan penjaga gol, Kasper Schmeichel dan percubaan yang tersasar menghalang Liverpool daripada mengulangi pencapaian menang dengan jaringan 4-0 ke atas Leicester ketika kedua-dua pasukan bertemu pada Disember lalu.

Namun Robert Firmino kemudian melengkapkan kemenangan bergaya Reds juga menerusi tandukan berpunca daripada sepakan sudut Milner enam minit sebelum tamat permainan.

"Aksi dalam perlawanan seperti ini, saya tidak mengambil ia perkara mudah. Pemain pula begitu bersemangat." kata Klopp.

Liverpool kini mencatat rekod baharu kelab itu selepas tidak tewas dalam 64 perlawanan liga di Anfield.

Disiarkan pada: November 23, 2020 @ 7:31am
d