Bola Sepak

Pahang sah runding dengan Aguero, Tuck

Oleh Asrol Awang

Kuantan: Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) mengesahkan mengadakan pertemuan bersama dua pemain import, Sergio Aguero dan Lee Tuck, minggu lalu.

Pengurus skuad Tok Gajah, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, setakat ini, segala urusan berkaitan kontrak sudah dibincangkan sama ada mendapat persetujuan kedua-dua pihak.

"Ya, memang betul Aguero dan Tuck mengadakan pertemuan bersama PBNP. Setakat ini, saya boleh sahkan bahawa mereka hampir pasti menyarung jersi Pahang.

"Bagaimanapun, keputusan muktamad berhubung kontrak akan diumumkan dalam masa terdekat," katanya.

Aguero dan Tuck, masing-masing berasal dari Argentina dan England dikatakan menjadi sandaran utama Pahang bagi memperkasakan jentera serangan dan tengah.

Musim ini, Aguero bermain dalam Liga M3 manakala Tuck pula beraksi bersama Terengganu FC (TFC).

Difahamkan, bagi saingan Liga M musim depan, Pahang tidak menawarkan lanjutan kontrak empat pemain import musim ini iaitu Dickson Nwakaeme dari Nigeria, Ivan Carlos (Brazil), Khalil Khamis (Lubnan) dan Adam Reed (Filipina).

Manakala pemain pertahanan import dari Perancis, Herold Goulon kekal bagi musim 2021 yang juga musim ketiga bersama skuad Tok Gajah.

Menurut sumber, kuota pemain Asia dan Asia Tenggara kini menjadi tumpuan Pahang untuk mendapatkan pemain di posisi penyerang dan pertahanan.

Disiarkan pada: November 23, 2020 @ 2:42pm
d