Bola Sepak

Barca teruskan rentak kemenangan Liga Juara-Juara

Oleh AFP

Kiev: Barcelona melayakkan diri ke kelompok 16 terbaik Liga Juara-Juara ketika saingan berbaki dua perlawanan yang menyaksikan Martin Braithwaite meledakkan dua gol untuk memastikan kemenangan selesa 4-0 ke atas Dynamo Kiev.

Lionel Messi antara pemain yang direhatkan namun dua gol jaringan Braithwaite selain Sergino Dest dan pemain gantian Antoine Griezmann menyaksikan pasukan Catalan itu kini mengiringi Juventus dalam aksi Kumpulan G.

Penentuan tempat pertama dan kedua bagaimanapun masih lagi menjadi rebutan dengan Barcelona akan menentang Ferencvaros minggu depan sebelum bertemu perlawanan penentuan di tempat sendiri melayan Juve, yang melakarkan kemenangan 2-1 di Turin.

"Kami mencapai objektif kami," kata Ronald Koeman.

"Kami kelihatan seperti kelaparan dan menjaringkan empat gol. Pemain utama direhatkan dan barisan muda layak untuk diturunkan."

Selepas meraih mata maksimum dari tiga perlawanan utama pertama, Koeman mengambil peluang untuk membuat pertukaran di Kiev dengan Messi dan Frenkie de Jong direhatkan sementara Jordi Alba dan Griezmann berada di bangku simpanan.

Sebagai ganti, Koeman menyenaraikan barisan muda yang menyaksikan penampilan pertama pemain senior Oscar Mingueza di pertahanan tengah dengan Francisco Trincao, Pedri dan Carles Alena turut diberi peluang untuk menunjukkan kemampuan.

Kemenangan itu meneruskan penampilan mengagumkan Barca di pentas Eropah selepas bergelut di La Liga yang menyaksikan mereka kini berada di kedudukan ke-12 berikutan kekalahan 0-1 kepada Atletico Madrid, Sabtu lalu.

Disiarkan pada: November 25, 2020 @ 8:23am
d