Bola Sepak

Maradona insan luar biasa

Oleh Agensi

Buenos Aires: Bintang bola sepak hari ini, Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo 'tidak mungkin boleh bermimpi' untuk dikagumi sama seperti Diego Maradona kata bekas rakan pasukan Argentina, Ossie Ardiles.

Negara itu mengumumkan tiga hari berkabung selepas Maradona meninggal dunia hari ini di usia 60 tahun kerana serangan jantung.

Kediaman rasmi Casa Rosada akan disediakan kepada keluarga mendiang Maradona bagi pengurusan upacara pengebumian negara.

"Menjadi Diego Maradona adalah sesuatu yang sangat cantik," kata Ardiles.

"Tapi dari satu sisi yang lain, ia sama sekali tidak mudah. Sejak usia muda, dia selalu dikejar oleh media sepanjang masa. Dia tidak mempunyai kehidupan kanak-kanak yang biasa. Dia tidak pernah hidup sebagai seorang remaja yang normal.

"Setiap orang mahu bersama dengannya, setiap orang menginginkannya jadi ia sangat sukar."

Maradona pernah bermain untuk kelab termasuk Barcelona dan Napoli, menjadi kapten Argentina ketika menang Piala Dunia 1986, menjaringkan gol yang cukup terkenal 'tangan tuhan' ketika menentang England di suku akhir.

Bekas pemain tengah Tottenham, Ardiles, yang bermain bersama Maradona di Piala Dunia 1982, mengatakan bahawa dia adalah "dewa" di Argentina, di Naples dan di seluruh dunia.

"Dia akan dikenang sebagai genius dalam bola sepak," tambahnya.

"Anda dapat melihat jumlah peminat yang luar biasa yang dihasilkannya.

"Pemain seperti (Juventus dan penyerang Portugal) Ronaldo atau seperti (penyerang Barcelona dan Argentina) Messi tidak mampu untuk bermimpi untuk disanjung seperti ini.

Disiarkan pada: November 26, 2020 @ 12:31pm
d