Bola Sepak

Lenggok badan Maradona lembut - Santokh

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: "Bukan senang nak jaga dia (Diego Maradona) sebab lenggok badan dia lembut dan buat saya susah nak baca pergerakannya."

Itu antara detik berharga bekas pertahanan tengah pasukan Jemputan Selangor XI, Datuk Santokh Singh ketika berhadapan dengan 'Raja' bola sepak dunia iaitu Maradona dalam aksi persahabatan menentang Boca Junior di Stadium Merdeka pada Januari 1982.

Santokh yang juga tonggak utama skuad Harimau Malaya mengakui pengalaman 'berkongsi padang' dengan legenda dunia itu cukup manis dan masih segar di ingatan meskipun perlawanan itu sudah 38 tahun berlalu.

Jelasnya, Maradona memiliki bentuk fizikal yang keras namun mempunyai keistimewaan dan bakat semula jadi di mana pergerakan tubuhnya menjadi lembut ketika beraksi.

"Dia kuat tapi nak kata laju pun tak berapa laju sangat. Tapi susah nak jaga dia sebab badan dia lembut, susah nak baca pergerakan dia.

"Saya diberi arahan oleh jurulatih untuk jaga dia, tapi bukan senang nak jaga dia. Saya akui dia pemain yang bagus dan hebat," kata Santokh yang pernah membantu Malaysia layak ke Sukan Olimpik 1980.

Pada aksi persahabatan antara Jemputan Selangor XI dan Boca Juniors dari kelab Argentina itu, pasukan tempatan yang diketuai oleh Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari itu tewas 2-1 di depan puluhan ribu penyokong negara.

Maradona yang terkenal dengan jaringan 'Hand of God' ketika menjaringkan gol menggunakan tangannya untuk menewaskan England 2-1 di Piala Dunia 1986 itu disahkan meninggal dunia awal pagi tadi.

Pemenang Piala Dunia 1986 itu meninggal pada usia 60 tahun meninggal dunia akibat serangan jantung.

Dia juga baharu sahaja menjalani pembedahan otak awal bulan ini.

Ujar Santokh lagi, pemergian Maradona adalah kehilangan yang besar kepada warga dan peminat bola sepak di seluruh dunia.

"Dia pergi dengan legasi yang hebat. Saya anggap dia legenda terbaik yang pernah menghiasi bola sepak dunia," katanya.

Disiarkan pada: November 26, 2020 @ 2:34pm
d