Bola Sepak

Maradona buat Chin Aun tertanya-tanya

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Sampai sekarang tidak mengetahui perkara yang diperkatakan legenda bola sepak dunia Diego Maradona selepas tamat perlawanan antara pilihan Selangor XI menentang Boca Juniors.

Situasi terbabit dikongsi legenda bola sepak negara Datuk Soh Chin Aun yang sempat berbual sebentar bersama Maradona sebaik tamat perlawanan berkenaan yang berkesudahan pilihan Selangor XI tewas 1-2 kepada Boca Juniors.

Mengimbau kembali detik berkenaan, Chin Aun berkata, beliau bersama barisan pertahanan lain iaitu Datuk Santokh Singh nekad mahu memberikan satu igauan kepada Maradona supaya mengingati mereka sebagai antara pertahanan kukuh ketika itu.

"Teruk juga kami ketika itu kerana Maradona begitu pandai mencari ruang untuk bolos daripada kekangan pertahanan seterusnya berjaya menghasilkan gol.

"Pada ketika itu, kami juga tidak memberikan mereka peluang dan setiap pergerakannya dikawal ketat sekali gus perlawanan berkesudahan hanya tewas tipis.

"Selepas perlawanan, kami berbual dan mendiang ada mengatakan sesuatu kepada kami namun disebabkan beliau bercakap menggunakan Bahasa Sepanyol, saya hanya mengangguk tanda faham dan mengiyakan saja.

"Pada waktu itu agak melucukan kerana masing-masing buat-buat faham apa yang dikatakan dan sampai sekaranglah saya sebenarnya tidak tahu apa yang Maradona katakan kepada kami," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Maradona yang terkenal dengan jaringan 'Hand of God' ketika menjaringkan gol menggunakan tangannya untuk menewaskan England 2-1 di Piala Dunia 1986 itu disahkan meninggal dunia awal pagi tadi.

Pemenang Piala Dunia 1986 itu meninggal pada usia 60 tahun meninggal dunia akibat serangan jantung.

Beliau juga baharu sahaja menjalani pembedahan otak awal bulan ini.

Disiarkan pada: November 26, 2020 @ 5:20pm
d