Bola Sepak

Fandi takkan lupa beraksi menentang Maradona

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: "Menjaringkan gol penyamaan ketika menentang Boca Juniors yang diperkuatkan (Diego) Maradona, takkan saya lupa sampai bila-bila.

"Malah, ia adalah gol yang paling istimewa buat saya sepanjang karier sebagai pemain bola sepak."

Itu kata bekas pemain Singapura, Fandi Ahmad yang berjaya menjaringkan gol penyamaan ketika beraksi bersama pasukan Pilihan Selangor XI menentang Boca Juniors di Stadium Merdeka dalam aksi persahabatan pada 1982.

Jelas Fandi, beliau berbangga diberi peluang menyarung jersi Selangor dan ia dibalas dengan menjaringkan satu gol yang berkesudahan wakil negara itu tewas 2-1.

"Saya berterima kasih kepada Selangor yang menjemput saya bermain dalam perlawanan itu. Saya ketika itu baru berusia 19 tahun dan masih muda.

"Peluang bermain satu gelanggang dengan Maradona memang nostalgia. Saya sendiri tak sangka dapat menjaringkan gol dalam perlawanan itu.

"Kalau ikutkan, Maradona adalah idola saya juga dan ketika Piala Dunia 1986 saya berpeluang melihatnya beraksi menentang England, Uruguay dan Belgium," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Ujar Fandi lagi, beliau terkejut dengan berita pemergian Maradona yang disifatkan sehingga kini masih tiada pengganti.

"Saya rasa sehingga sekarang pun masih belum ada pengganti walaupun sekarang ada Messi dan Cristiano Ronaldo. Beliau legenda yang sukar dicari ganti," katanya yang kini berada di Singapura.

Disiarkan pada: November 26, 2020 @ 6:50pm
d