Bola Sepak

Nirennold kekal bersama UiTM FC

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Selepas cemerlang membantu UiTM FC sepanjang kempen musim ini, pemain import dari Perancis, Victor Nirennold akhirnya memilih untuk kekal bersama pasukan itu semusim lagi.

Nirrennold, 29, yang beraksi di posisi pertahanan tengah bertindak cemerlang dengan memastikan benteng UiTM FC antara terbaik musim ini apabila hanya dibolosi 15 gol untuk menamatkan kedudukan di tangga keenam Liga Super.

Menerusi majlis menandatangani kontrak yang berlangsung hari ini, ketua pasukan UiTM FC itu ditawarkan kontrak setahun lagi untuk muncul pemain import pertama bagi musim baharu yang disenaraikan.

Hadir sama dalam majlis itu adalah Timbalan Presiden UiTM FC, Dr Bahrin Othman dan Pengurus pasukan, Mustaza Ahmad.

Sebelum ini, skuad Universiti itu 'kehilangan' Rabih Ataya yang berhijrah ke pasukan Kedah, sementara tiga lagi tonggak import, Gustavo dos Santos, Mark Hartmann dan Ousmane Fane kemungkinan memilih haluan berbeza.

Untuk rekod, skuad The Lions Lion Troops beraksi dengan cemerlang pada musim ini dalam liga selain berjaya layak ke suku akhir Piala Malaysia.

Tirai baharu kempen Liga Malaysia (Liga-M) 2021 dijadual bermula pada 26 Februari depan dengan membabitkan perlawanan Piala Sultan Haji Ahmad Shah yang menemukan juara Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) dan naib juara liga, Kedah sebagai aksi pembuka Liga-M.

Manakala aksi domestik lain seperti Liga Super dan Liga Perdana pula akan bermula pada 27 dan 28 Februari 2021 nanti.

Disiarkan pada: November 26, 2020 @ 10:31pm
d