Bola Sepak

KAFA nafi ahli majlis terbabit penipuan

Oleh BERNAMA

Kota Bharu: Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) menafikan ada ahli Majlis Tertinggi persatuan itu yang terbabit dengan kes penipuan terhadap pemilik Kelantan FC Norizam Tukiman.

Pengerusi Media KAFA Datuk Ir Shamin Fahmin Hassan berkata pihakya mengikuti dengan teliti perkembangan berhubung dakwaan pemilik TRW Sdn Bhd (Kelantan FC) itu serta komen di media sosial.

"Ahli-Ahli Majlis Tertinggi KAFA bermesyuarat pada hari ini untuk membincangkan isu itu memandangkan wujudnya tuduhan dan tohmahan yang mengaitkan individu dalam KAFA.

"KAFA dengan tegasnya menafikan pembabitan mana-mana ahli Majlis Tertinggi dalam isu ini malahan tidak mempunyai pengetahuan mengenai keempat-empat individu itu," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Kelantan FC mendedahkan terdapat empat individu yang berpengaruh dalam arena bola sepak negara terbabit dengan penipuan terhadap Norizam.

Susulan pendedahan itu, terdapat netizen yang melemparkan tuduhan liar di media sosial bahawa keempat-empatnya adalah individu dalam persatuan terbabit (KAFA).

Shamin Fahmin berkata pihaknya juga sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan saman fitnah terhadap individu yang membuat tuduhan serta andaian mengaitkan persatuan itu dan pemegang jawatan dalam persatuan itu

"Pihak KAFA sudah berbincang dengan pihak peguam dan berkemungkinan mengambil tindakan perundangan terhadap semua individu yang membuat tohmahan serta fitnah di laman sosial," katanya.

Beliau berkata pihaknya akan buat laporan polis berkaitan tuduhan liar itu dan segala maklumat berkaitan kenyataan yang berunsur fitnah akan dikumpul.

"Pihak KAFA memandang serius isu ini kerana ia membabitkan kredibiliti persatuan dan juga maruah ahli-ahli Majlis Tertinggi dengan tohmahan terbabit," katanya.

Disiarkan pada: November 26, 2020 @ 10:55pm
d