Bola Sepak

Man United diugut berjuta pound

Oleh Agensi

London: Manchester United menerima ugutan berjuta pound daripada penjenayah siber yang bertindak melumpuhkan sistem kelab itu, demikian pendedahan Sportsmail.

United membawa pakar teknikal untuk menghentikan serangan yang berpotensi mencetuskan 'bencana' yang dilakukan lebih dari seminggu yang lalu.

Bagaimanapun difahamkan penggodam masih mengugut United selepas Pusat Keselamatan Siber Nasional (NCSC) semalam mengesahkan mereka membantu kelab untuk menyelesaikan krisis berkenaan.

"NCSC menyedari insiden yang menimpa Kelab Bolasepak Manchester United dan kami bekerjasama dengan pelbagai organisasi untuk memahami kesan penggodaman itu," kata kenyataan NCSC.

Kerapuhan sistem keselamatan di salah sebuah kelab bola sepak terbesar di dunia itu dilihat amat memalukan dan kes itu lebih serius berbanding kes pertama sebelum ini.

Rangkaian sistem United diserang virus komputer dan kini mereka berdepan pilihan sama ada membayar jumlah yang dimahukan atau berisiko kehilangan maklmuat penting mengenai kelab yang mungkin akan bocor ke pihak awam.

Masih tidak dapat dipastikan siapakah dalang yang melakukan perbuatan itu serta berapa jumlah wang yang dimahukan.

Bagaimanapun NCSC mendedahkan pada tahun lalu kelab EFL menerima ugutan sebanyak £5 juta (RM27.2 juta).

Disiarkan pada: November 27, 2020 @ 1:29pm
d