Bola Sepak

Harimau Malaya naik satu anak tangga

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Ranking skuad Harimau Malaya naik satu anak tangga dalam kemaskini terbaharu yang dikeluarkan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) hari ini.

Meskipun tidak beraksi sepanjang musim ini ekoran pandemik Covid-19, kedudukan anak buah Tan Cheng Hoe naik di kedudukan 153 berbanding 154 sebelum ini.

Perkhabaran ini sudah tentunya menaikkan semangat pemain negara menjelang aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Mac tahun depan apabila dijadualkan menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE), Vietnam dan Thailand dalam Kumpulan G.

Ketika ini, Malaysia di tangga kedua di belakang Vietnam dengan sembilan mata dan baki tiga aksi lagi amat penting untuk skuad kendalian Cheng Hoe mengintai slot ke Piala Asia dan layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia zon Asia.

Selain peringkat kelayakan itu, pemain negara juga bakal mengharungi Piala AFF sebulan kemudian dalam bulan April di mana Malaysia akan turun sebagai pasukan pilihan selepas muncul naib juara dua tahun lalu.

Lantas, peningkatan ranking dunia itu diharapkan mampu menjadi tonik tambahan sebelum mengharungi kalendar 2021 yang cukup padat dan mencabar.

Disiarkan pada: November 27, 2020 @ 5:45pm
d