Bola Sepak

Lampard tetap hormati Mourinho

Oleh AFP

London: Pengurus Chelsea, Frank Lampard percaya Jose Mourinho adalah seorang pengurus yang bagus seperti sebelum ini selain menegaskan menghormati bekas bosnya itu.

Tottenham di bawah bimbingan Mourinho kini menduduki tangga teratas Liga Perdana menjelang pertemuan dengan Chelsea awal pagi Isnin.

Pengurus berasal dari Portugal itu melalui karier cemerlang namun bergelut ketika membimbing Manchester United dan mengambil masa untuk menyesuaikan diri di Spurs.

Kedua-dua pengurus itu pernah bertemu pada Piala Liga, September lalu dan tahun lalu Mourinho mendakwa Lampard menggunakan taktik bekas bos Chelsea, Antonio Conte untuk menewaskan Spurs pada saingan liga.

Bagaimanapun Lampard yang memenangi kejuaraan Liga Perdana dua kali ketika di bawah bimbingan Mourinho di Stamford Bridge, enggan mengeruhkan keadaan, sebaliknya berkata bekas bosnya itu masih lagi pengurus terbaik.

"Anda tidak akan meraih rekod seperti yang dilakukan Jose Mourinho ketika menjadi pengurus jika beliau tidak berbakat sebagai jurulatih," katanya.

Lampard yang memasuki tahun kedua membimbing Chelsea berkata, beliau tidak terkejut dengan tomahan yang dilemparkan terhadapnya.

"Saya menghormati Jose sebagai pengurus dan saya rasa itu sudah mencukupi. Saya tidak mahu memperkatakan perkara seperti sistem Antonio Conte atau apa saja.

"Jose mempunyai pendapatnya dan ia bukanlah masalah saya," katanya.

Disiarkan pada: November 28, 2020 @ 7:43am
d