Bola Sepak

Pengadil gol 'Tangan Tuhan' bangga bantu Maradona

Oleh Agensi

Tunis: Pengadil Tunisia yang mengendalikan perlawanan kontroversi kekalahan Engand kepada Argentina di Piala Dunia 1986 berkata beliau bangga dan satu penghormatan kerana dapat membantu Diego Maradona menjaringkan 'gol abad ini'.

Maradona yang meninggal dunia Rabu lalu pada usia 60 tahun, menewaskan beberapa pemain England sebelum meledak gol untuk meletakkan Argentina di depan 2-0, empat minit selepas menjaringkan gol kontoversi yang lebih dikenali sebagai 'Tangan Tuhan'.

Pengadil perlawanan itu, Ali Nasser yang kini berusia 76 tahun berkata, beliau tidak mempunyai pilihan selain mengesahkan gol pertama itu dan berkongsi pengalaman Maradona memberikannya sehelai jersi yang mempunyai tandatangannya ketika bertemu pada 2015.

"Dia berlari dari bahagian tengah dan saya memerhatikan gerakannya secara dekat. Apabila anda mengendalikan perlawanan membabitkan pemain seperti Maradona, anda tidak boleh terlepas daripada menyaksikan pergerakannya.

"Lawan cuba menjatuhkannya sebanyak tiga kali tetapi keinginannya untuk melakar kemenangan memberi motivasi tambahan kepadanya untuk terus ke depan.

"Saya memerhatikannya dari luar kotak penalti dan membayangkan bagaimana pemain ini dapat menewaskan tiga pertahanan lawan dan kemudian berlari hampir 50 meter.

"Saya menjangkakan pemain pertahanan cuba untuk menjatuhkannya dan saya bersedia meniup wisel untuk memberikan sepakan penalti.

"Tapi lebih mengejutkan saya dia berjaya menewaskan seorang lagi pemain pertahanan dan penjaga gol (Peter Shilton) sebelum menjaringkan 'gol abad ini'.

"Saya bangga dan satu penghormatan sebagai seorang individu dan pengadil kerana menjadi sebahagian daripada sejarah membanggakan ini.

"Jika saya meniupkan wisel daripada tiga kekasaran yang dilakukan lawannya sebelum itu, kita tidak akan dapat menyaksikan sesuatu yang menakjubkan," katanya.

Disiarkan pada: November 28, 2020 @ 1:22pm
d