Bola Sepak

Gopi Rizqi sedih tinggalkan Tok Gajah

Oleh Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Pemain tengah Pahang, Muhammad Gopi Rizqi Rama Chandra tidak menduga sama sekali khidmatnya tidak lagi diperlukan Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) untuk saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

"Saya menerima panggilan telefon daripada pegawai PBNP sebelum ini yang menyatakan khidmat saya tidak lagi diperlukan musim depan tanpa dinyatakan alasan atau sebab keputusan itu dibuat.

"Saya tidak menyangka sama sekali kontrak bersama Tok Gajah tidak disambung, ternyata jodoh saya bersama Pahang tidak panjang cuma semusim sahaja," katanya, dihubungi di sini malam ini.

Berdasarkan rekod, Gopi Rizqi memulakan kerjaya sebagai pemain profesional bersama Pahang selama enam musim dari 2010 hingga 2015, disusuli Selangor (2016), Johor Darul Ta'zim (JDT) (2017), Melaka United (2018) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) (2019).

Musim ini dia diterima PBNP untuk menguatkan jentera tengah Tok Gajah bersama Nor Azam Azih, Mohd Faisal Rosli, Mohd Faisal Abdul Halim dan Dickson Nwakaeme.

Gopi Rizqi berkata, dalam keadaan sekarang dia masih belum memikirkan lagi pasukan baharu musim depan namun usaha untuk mendapatkan pasukan baharu tetap akan dilakukan.

Katanya, dia yakin masih lagi mampu beraksi dengan baik dalam Liga M dalam tempoh beberapa tahun lagi, tanpa sebarang kecederaan memberi harapan yang lebih cerah untuk bersaing di pentas kebangsaan.

Bagaimanapun katanya, dia kini perlu membuktikan kebolehan yang ada seterusnya

bersaing dengan ramai pemain muda dalam usaha mencari tempat bersama pasukan baharu.

"Saya reda jodoh bersama Pahang tidak panjang, mungkin ada hikmah apa yang berlaku. Saya terima dengan hati yang terbuka kerana sebagai pemain profesional episod berkenaan perlu ditempuhi.

"Saya mendoakan supaya pasukan kesayangan saya Tok Gajah mencatat kejayaan pada masa akan datang bersama barisan pemain muda yang ada," katanya yang baharu menimang cahaya mata perempuan.

Disiarkan pada: November 28, 2020 @ 11:24pm
d