Bola Sepak

Spurs rampas tangga teratas

Oleh AFP

London: Jose Mourinho berkata skuad bimbingannya tidak berpuas hati apabila hanya sekadar meraih satu mata selepas seri tanpa jaringan ketika bertemu Chelsea di tempat lawan yang menyaksikan Tottenham kembali menduduki tangga teratas Liga Perdana Inggeris.

Chelsea mempamer aksi lebih baik serta memperoleh beberapa peluang terbaik namun Spurs dapat bertahan sekali gus mengekalkan rekod bersih dalam empat perlawanan berturut-turut dan membuktikan mereka antara pencabar kejuaraan liga musim ini.

"Satu perkara yang positif daripada perlawanan ini adalah meraih satu mata. Kembali menduduki tangga teratas liga juga positif tetapi barisan pemain saya tidak gembira.

"Bagi saya ia sangat hebat. Ia jelas mengubah mentaliti dan personaliti setiap pemain," kata Mourinho.

Namun situasi selama 90 minit permainan menyaksikan Mourinho sepatutnya gembira apabila dapat mengekalkan rekod tanpa kalah di saingan liga dalam sembilan perlawanan.

"Kami tidak memperoleh banyak peluang. Saya bersetuju dengan itu tetapi berapa pula peluang pihak lawan?"

"Ia adalah perlawanan di mana kami menghormati mereka dan mereka juga menghormati kami. Tiada siapa yang berani menanggung risiko.

"Setiap orang berada dalam situasi di mana satu kesilapan akan menerima hukuman dan lawan akan menang," katanya.

Keputusan itu juga menyaksikan Chelsea kekal ketinggalan dua mata di belakang seteru setempat itu untuk menduduki tempat ketiga.

Disiarkan pada: November 30, 2020 @ 8:14am
d