Bola Sepak

Wolves malukan Arsenal di Emirates

Oleh AFP

London: Wolves bangkit daripada kehilangan khidmat penjaring terbanyak, Raul Jimenez yang berdepan kecederaan di kepala dengan menewaskan Arsenal 2-1 di Stadium Emirates sekali gus kekalahan ketiga berturut-turut Gunners di tempat sendiri.

Pemain Mexico itu menerima rawatan daripada pasukan perubatan selama 10 minit selepas bertembung dengan David Luiz sebelum diusung keluar dari padang.

Luiz meneruskan aksi dengan balutan di kepala sehingga separuh masa pertama sebelum digantikan oleh Rob Holding.

Pedro Neto dan Daniel Podence masing-masing meledak gol pasukan pelawat untuk kemenangan pertama mereka di Arsenal sejak 1979.

Jimenez dilaporkan sedar di hospital dan menerima rawatan rapi.

Sementara itu, pengurus Arsenal Mikel Arteta berkata beliau tidak berasa bimbang berhubung masa depannya selepas kekalahan itu sekali gus permulaan terburuk sejak 1981.

Gunners kini menduduki tangga ke-14 selepas mencatat lima kekalahan daripada 10 perlawanan.

"Sebaik saya ambil keputusan untuk menjadi jurulatih, saya tahu satu hari nanti pemecatan atau perlu meninggalkan pasukan akan berlaku dalam bola sepak. Tetapi saya tidak tahu bila ia akan berlaku.

"Dalam profesion ini, saya tahu ia akan berlaku tetapi saya tidak risau mengenainya.

"Keutamaan saya adalah untuk memberikan yang terbaik kepada pemain dan kelab," katanya.

Disiarkan pada: November 30, 2020 @ 8:47am
d