Bola Sepak

UAE pecat jurulatih skuad bola sepak lagi

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Ketika skuad Harimau Malaya 'pening' menghitung hari untuk mencari waktu sesuai mengadakan latihan pusat pertama sejak November tahun lalu, lain pula ceritanya di kem Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Difahamkan, UAE kini amat tertekan menjelang aksi menentang Malaysia dalam Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Mac nanti apabila negara Asia Barat itu dilaporkan bakal memecat jurulatih mereka.

Ia susulan aksi tidak menentu di bawah kendalian jurulatih dari Colombia, Jorge Luis Pinto yang menyaksikan UAE tewas 1-3 kepada Bahrain minggu lalu.

Malah, ia adalah kekalahan kedua daripada tiga aksi sejak Pinto mengambil alih pasukan sekali gus melahirkan kebimbangan di kem UAE yang sedar akan kekuatan skuad Harimau Malaya terutama dengan kehadiran beberapa pemain di Eropah seperti Safawi Rasid dan Luqman Hakim Shamsudin.

Menurut laporan portal sukan UAE iaitu Ahdaaf, jawatan Pinto akan digantikan dengan jurulatih dari Croatia, Zoran Mamic.

Sekiranya sah Pinto dipecat, beliau adalah jurulatih kedua dipecat tahun ini selepas Ivan Jovanovic turut menerima nasib sama pada April lalu dengan kedua-dua jurulatih berkenaan belum sempat menguji anak buah Tan Cheng Hoe.

Aksi membabitkan UAE dan Malaysia sepatutnya berlangsung pada Mac lalu, namun ditunda ke Oktober sebelum sekali lagi dibawa ke tahun depan susulan penularan Covid-19 yang cukup membimbangkan di seluruh dunia.

Berdasarkan kedudukan Kumpulan G kelayakan Piala Dunia itu, skuad negara berada pada kedudukan baik untuk layak ke pusingan ketiga selain layak secara automatik ke Piala Asia dengan wajib menamatkan saingan tangga kedua kumpulan.

Ketika ini, skuad kendalian Cheng Hoe menghimpun sembilan mata di tempat kedua dengan Vietnam muncul pendahulu 11 mata.

Manakala, tiga lagi pasukan iaitu Thailand, UAE dan Indonesia masing-masing di tangga ketiga hingga kelima dengan Malaysia masih memiliki tiga baki perlawanan menentang UAE, Vietnam dan Thailand.

Disiarkan pada: December 1, 2020 @ 8:44pm
d