Bola Sepak

Sebahagian muka baharu anggotai PBSNT 2021-2024

Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Lebih separuh muka baharu berjaya memenangi jawatan dalam Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) sesi 2021-2024 pada Kongres Tahunan PBSNT 2020 yang diadakan hari ini.

Paling mencuri tumpuan pertembungan satu lawan satu jawatan Timbalan Presiden II PBSNT yang dimenangi penyandangnya, Marzuki Sulong yang lebih mesra dipanggil 'Abah' apabila mendapat 32 undi menewaskan pencabar baharu, Mohd Sekanther Abdul Hamid dengan 24 undi.

Bagi jawatan Naib Presiden PBSNT hanya seorang muka lama, Jasmira Othman berjaya mengekalkan kedudukan berkenaan manakala tiga muka baharu berjaya memenangi jawatan itu iaitu Apli Yusoff, Mohd Rashdi Hamat dan Che Wan Mohd Azlizan Wan Abu Bakar.

Lebih menarik ahli jawatankuasa persatuan itu turut diwakili bekas pemain bola sepak Terengganu yang menjuarai Piala Malaysia pada 2001, Zainudin Ismail yang juga muka baharu.

Turut mengisi ahli jawatankuasa persatuan itu empat lagi muka baharu iaitu Zaki Ismail, Mazlan Sulong, Mohd Amir Ikhwan Mohd Maniyamin dan Shaiful Dazilan Mazlan manakala tiga muka lama berjaya memenangi jawatan itu iaitu Haslan Hashim, Zulkiflee Nawi dan Yahaya Mohd Noor.

Bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden I, tidak dipertandingkan kerana dikhaskan kepada Menteri Besar Terengganu dan Timbalan Presiden I, Hishamuddin Abdul Karim dipilih khas oleh Presiden PBSNT sebagai mana yang terkandung dalam statut persatuan itu.

"Ini mandat baharu yang diberikan, kita akan bekerja keras secara berpasukan dan saling ingat-mengingati demi memartabatkan sukan bola sepak negeri dan negara.

"Selain itu misi kami untuk teruskan kesinambungan pemain kerana ramai pemain Terengganu yang berbakat, jadi kita perlu menggunakan produk sendiri.

"Secara jujur saya meletakkan apa yang saya buat adalah demi menjaga pembangunan bola sepak, tiada niat untuk sakiti hati sesiapa, tapi andai kata saya perlu pergi saya pergi, saya tidak ada masalah, kepada semua saya minta maaf," kata Marzuki ketika ditemui.

Sementara itu, Hishamuddin menjelaskan bermula 2021, pasukan Liga Super dan Liga Perdana akan diuruskan Terengganu Football Club Sdn Bhd iaitu anak syarikat milik PBSNT sepenuhnya selepas penswastaan manakala pasukan Piala Presiden, Piala Belia dan futsal masih diuruskan PBSNT selama setahun kerana memberi peluang kepada TFC Sdn Bhd menstabilkan pengurusannya.

"Bermula 2021 juga PBSNT akan lebih fokus dan perkasa pembangunan serta pemantauan kejurulatihan, kepegawaian, kepengadilan, kejohanan liga negeri dan bekerjasama sepenuhnya dengan ahli gabungan serta Persatuan Bolasepak Malaysia dalam membangunkan bola sepak secara keseluruhan dan bertindak sebagai satu badan persatuan sukan," katanya.

Disiarkan pada: December 3, 2020 @ 6:34pm
d