Bola Sepak

Penyokong buat Arsenal naik semangat

Oleh AFP

London: Buat kali pertama dalam tempoh 270 hari, penyokong kembali ke stadium membabitkan perlawanan kelab England tatkala Arsenal menyambut kehadiran 2,000 penyokong di Stadium Emirates ketika mencatat kemenangan 4-1 ke atas Rapid Vienna di Liga Europa.

Penyokong di stadium yang mempunyai kapasiti 60,000 itu dijarakkan dengan dua bahagian dan bersemangat tinggi walaupun The Gunners mempamerkan aksi mengecewakan dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

"Saya gembira melihat penyokong kembali ke stadium, mereka membuatkan perbezaan yang besar. Kami mempunyai 2,000 penyokong namun suara mereka sangat kuat dan mereka sangat membantu pasukan, jadi terima kasih kepada mereka yang hadir dan berusaha," kata jurulatih Arsenal, Mikel Arteta.

Di luar gelanggang sebelum sepak mula kain rentang bertulis: "Akhirnya kembali, Terima Kasih NHS (Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan Britain)" diletakkan sebagai penghargaan kepada petugas barisan depan menentang Covid-19.

Perlawanan terakhir Arsenal di laman sendiri dengan dihadiri penonton ialah pada Mac sebelum tiga bulan ditangguhkan kerana pandemik berkenaan.

Arsenal membuka jaringan melalui rembatan Alexandre Lacazette pada minit ke-10 dan dia berlari meraikan jaringan itu di depan penonton.

Pablo Mari menambah gol kedua tuan rumah dalam penampilan pertamanya sejak Mac lalu.

Eddie Nketiah menjaringkan gol ketiga sebelum separuh masa pertama tamat namun Kohya Kitagawa berjaya memperoleh jaringan saguhati pelawat sebaik perlawanan bersambung.

Pemain gantian, Emile Smith Rowe meledak gol keempat buat Arsenal.

Disiarkan pada: December 4, 2020 @ 8:40am
d