Bola Sepak

Spurs cari jalan susah sebelum layak

Oleh AFP

Paris: Pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Tottenham bergelut untuk mencatat keputusan seri yang diperlukan di Linz, dengan menamatkan perlawanan 3-3 selepas memperoleh dua penalti, seterusnya memastikan tempat ke pusingan kalah mati Liga Europa.

Keputusan di Austria juga memastikan Antwerp juga mara bagi saingan Kumpulan J.

Pasukan lain, Braga, AC Milan, Lille, Villarreal, Dinamo Zagreb, Red Star Belgrade, Slavia Prague, Bayer Leverkusen, Rangers, Benfica, Granada dan Eindhoven memastikan tempat mereka dalam saingan 32 terakhir.

Mereka akan menyertai Leicester, Arsenal, Hoffenheim dan Roma yang juga sudah pun mara sebelum ini.

Di Linz, tuan rumah mendominasi babak pertama tetapi hanya meledak satu gol menerusi Peter Michorl.

Spurs, yang gagal menemui sasaran, mendapat sepakan penalti kerana bola terkena tangan dan Gareth Bale menyempurnakannya untuk jaringan ke-200 kariernya.

Son Heung Min meletakkan Spurs di depan menerusi serangan balas pantas pada minit ke-56.

Johannes Eggestein bagaimanapun menemui gawang pada minit ke-84 apabila mengatasi Joe Hart.

Tiga minit kemudian Spurs kembali mendahului. Seorang daripada dua penyerang, Steven Bergwijn dikasari manakala Dele Alli menyempurnakan penalti.

Spurs tidak berupaya mempertahankan kelebihan itu apabila pemain muda Perancis, Mamoudou Karamoko menyamakan kedudukan ketika tambahan masa

Disiarkan pada: December 4, 2020 @ 9:28am
d