Bola Sepak

Zainal kekal di Melaka

Oleh Nazri Abu Bakar

Melaka: Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) mengekalkan jurulatih musim ini, Zainal Abidin Hassan bagi mengendalikan Melaka United Football Club (MUFC) untuk mengharungi saingan Liga Malaysia musim depan.

Timbalan Presiden MUSA, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi berkata, MUFC dimiliki sepenuhnya oleh Musa dipengerusikan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali turut melantik Datuk Mohd Saiful Mat Sapri sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MUFC.

Katanya, tanggungjawab MUFC diketuai Datuk Saiful dengan pengerusi dan ahli Lembaga Pengarah MUFC turut bersetuju meneruskan khidmat Zainal sebagai ketua jurulatih.

"Walaupun pasukan kurang menyerlah pada musim ini, namun MUFC terus memberi kepercayaan kepadanya untuk meningkatkan prestasi pasukan musim depan.

"Kami yakin pasukan MUFC lebih baik kali ini menerusi kemampuan Zainal. Sementara pengurus pasukan musim ini, Muhammad Akram Abdullah juga akan terus diberi peranan bagi saingan 2021 dan Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd juga akan menjadi penaja untuk skuad berkenaan," katanya di Melaka hari ini.

Yusoff berkata, pelantikan Zainal juga dilihat sebagai cabaran baginya untuk meletakkan kejayaan buat pasukan walaupun skuad tidak menetapkan sasaran terlalu tinggi buat pengendali terbabit.

Menurutnya, penyokong juga diharapkan melupakan episod duka pasukan musim ini dengan perubahan yang bakal dilakukan oleh Zainal.

Saiful pula berkata, dia mengucapkan terima kasih kepada pengerusi MUFC, Datuk Seri Sulaiman yang melantiknya sebagai CEO yang baginya dianggap amanah berat yang perlu dilaksanakan.

Apapun, MUFC akan tetap berusaha sebagai pasukan yang tetap disegani menerusi bajet yang ditetapkan oleh pengurusan.

Menurutnya, beberapa pemain juga akan dikekalkan dan sebahagian tidak disambung kontrak untuk bersama pasukan kali ini.

Beliau berkata, khidmat bekas pemain kebangsaan Safiq Rahim juga tidak disambung musim depan dengan pasukan mengambil muka baharu dan beberapa pemain senior yang memiliki pengalaman bersama pasukan kebangsaan.

Disiarkan pada: December 4, 2020 @ 6:28pm
d