Bola Sepak

Hampir semua pasukan mohon 'lesen' penonton ke stadium

Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Hampir semua pasukan yang beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) memohon diberikan 'lesen' membenarkan penonton masuk ke stadium menyaksikan perlawanan membabitkan pasukan kesayangan mereka.

Demikian reaksi Ahli Lembaga Pengarah Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Marzuki Sulong ketika ditanya mengenai jumlah pasukan yang memohon kebenaran berkaitan perkara itu musim depan.

Beliau berkata, MFL kini sedang giat berusaha bagi memastikan perkara itu menjadi kenyataan selepas penonton tidak dibenarkan masuk ke stadium sebaik liga bersambung pada Ogos lalu bagi mengelak penularan wabak pandemik Covid-19.

"MFL sedang bekerja ke arah itu dengan nasihat daripada pihak berkuasa termasuk kementerian kesihatan, Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

"Ini kerana setakat ini hampir semua pasukan memohon kebenaran untuk membenarkan peminat hadir ke stadium kerana itu adalah salah satu sumber pendapatan pasukan berdasarkan kutipan tiket.

"Sebagai contoh pasukan Terengganu FC pernah meraih RM600,000 hasil kutipan tiket dalam dua perlawanan liga awal musim 2020, ini adalah salah suntikan kewangan yang besar kepada pasukan.

"Apabila kejohanan terhenti kerana Covid-19, sudah tentu akan memberi kesan kepada poket pasukan, kita memahami situasi ini, Insya-Allah kita akan perjuangkan perkara ini.

"Lagipun penonton bijaksana kerana mereka memahami bola sepak, saya yakin jika penonton dibenarkan ke stadium mereka boleh mematuhi SOP (prosedur operasi standard), sebab itu saya fikir kita perlu bagi peluang terlebih dahulu kepada penonton, kita pun sudah bersedia dan tidak akan hampakan peminat.

"Oleh sebab itu MFL sedang berusaha, jika tidak boleh ramai pun kita akan pastikan jumlah penonton itu memuaskan misalnya 20 hingga 30 peratus kapasiti stadium," katanya ketika ditemui selepas mempertahankan jawatan Timbalan Presiden II Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) pada kongres persatuan itu semalam.

Ketika ditanya kemeriahan dan persiapan Liga M musim depan, Marzuki mengakui MFL sedang berusaha ke arah itu.

"Kita ada pasukan baharu yang bakal diisi dalam saingan Liga Perdana musim depan, tapi pasukan itu kita akan umumkan kemudian.

"Mengenai penajaan baharu kita masih dalam proses perundingan, Insya Allah saya rasa kesannya ada tapi semoga Allah memberi jalan kepada kita untuk selesaikan, cuma yang kita risau sekali ialah dugaan Covid-19," katanya.

Disiarkan pada: December 4, 2020 @ 6:40pm
d