Bola Sepak

Latihan Harimau Malaya awal Januari

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe pastinya lega apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan sedang berusaha untuk mengadakan kem latihan pusat seawal Januari ini.

Perkara terbabit dimaklumkan Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam yang mengakui pihaknya sedang menguruskan beberapa perkara membabitkan latihan itu termasuk mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa susulan pandemik Covid-19.

Beliau berkata, latihan pusat itu adalah sebagai persediaan awal skuad negara bagi menghadapi dua tugasan penting iaitu kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 serta Piala AFF pada Mac dan April depan.

Menurutnya, skuad kendalian Cheng Hoe turut diberikan kelonggaran pada pertengahan Mac nanti bagi menjalani latihan, namun panggilan kem negara pada awal Januari ini cukup penting selepas pasukan tidak berlatih bersama hampir setahun.

"Kita memang sebelum ini ada rancangan untuk adakan latihan selepas Piala Malaysia, tetapi dengan penangguhan liga dan Piala Malaysia (kemudiannya dibatalkan), semua itu dah tak boleh jadi.

"Dengan perbincangan bersama MFL (Liga Bolasepak Malaysia) untuk tahun depan, kita memang ada satu slot tambahan atau panggilan skuad negara di bulan Mac nanti dan kita berterima kasih kepada MFL kerana slot itu berjaya diwujudkan.

"Tetapi kita sedang bincangkan satu kem latihan sebelum bulan Mac untuk memberi peluang jurulatih Cheng Hoe bersama pemain ini yang tidak berlatih setahun lebih," katanya.

Cheng Hoe sebelum ini mengakui terpaksa mengharapkan sentuhan enam pemain di luar negara bagi memastikan skuad Harimau Malaya bersedia menghadapi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Mac ini.

Enam pemain iaitu Safawi Rasid yang beraksi di Portugal, Luqman Hakim Shamsudin di Belgium, Hadi Fayyadh Abd Razak di Jepun serta tiga pemain di Thailand, Norshahrul Idlan Talaha, Mohamadou Sumareh dan Dominic Tan ketika ini masih kekal beraksi dan berlatih berbanding pemain tempatan yang kini bercuti selepas Liga M berakhir bulan lalu.

Kebimbangan itu kemudiannya disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan yang sedia membantu dengan mengesahkan pihaknya sudah merombak jadual Liga Malaysia dengan memberi tempoh latihan yang lebih pada bulan Mac sebelum menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) nanti.

Untuk rekod, kali terakhir pasukan negara menjalani latihan dan aksi antarabangsa adalah pada November tahun lalu yang menyaksikan Harimau Malaya berjaya menundukkan Thailand 2-0 dan Indonesia 2-1 untuk meletakkan Malaysia di tangga kedua Kumpulan G.

Kempen kelayakan akan bersambung Mac 2021 dengan skuad bimbingan Cheng Hoe masih memiliki tiga baki perlawanan menentang UAE, Vietnam dan Thailand.

Disiarkan pada: December 4, 2020 @ 9:56pm
d