Bola Sepak

Trucha jurulatih Penang FC

Oleh BERNAMA

George Town: Juara Liga Perdana Penang FC (PFC) melantik Tomas Trucha sebagai ketua jurulatih skuad itu bagi menghadapi saingan Liga Super musim depan.

Ketua Pegawai Eksekutif PFC Dr Amar Pritpal Abdullah berkata pengalaman luas dimiliki jurulatih dari Republik Czech itu diyakini mampu membawa skuad Harimau Kumbang lebih cemerlang dalam saingan 2021.

"Pengalaman yang dimiliki beliau memberi keyakinan kepada PFC... malah beliau juga dibantu oleh Manzoor Azwira Abd Wahid sebagai Penolong Ketua Jurulatih.

"Saya percaya dengan gandingan mantap kedua-dua jurulatih berpengalaman ini mampu membawa pasukan ke arah yang lebih cemerlang dalam Liga Super," katanya.

Menurut beliau, jurulatih berusia 49 tahun itu dijangka membimbing skuad Penang FC selama semusim dan akan memulakan latihan rasmi bersama pemain pada 16 Disember ini.

Sementara itu, Manzoor Azwira berkata kehadiran Trucha akan membantu pasukan Pulau Pinang melakukan penambahbaikan dari segi corak permainan dan taktikal agar mampu bersaing dalam kempen Liga Super yang lebih kompetitif.

Beliau berkata perbincangan terperinci akan diadakan bagi menentukan hala tuju pasukan apabila Trucha tiba di Malaysia tidak lama lagi.

"Namun, setelah segalanya selesai (urusan ketibaan/kuarantin yang perlu dijalani Trucha), saya akan berbincang dengan beliau mengenai pendekatan yang dibawa ke atas Pulau Pinang dan tindakan selanjutnya dalam mengemudi pasukan ini kelak," katanya.

Pemilihan Trucha sebagai pengendali skuad Harimau Kumbang menjawab tanda tanya peminat bola sepak tempatan berikutan Manzoor Azwira tidak mempunyai lesen kejurulatihan profesional (Pro A) seperti yang diwajibkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bermula musim depan.

Pasukan Pulau Pinang terpaksa mencari ketua jurulatih baharu setelah rayuan mereka untuk mengekalkan Manzoor Azwira ditolak oleh FAM.

Trucha memulakan karier sebagai jurulatih seawal usia 25 tahun mempunyai pengalaman luas ketika menggalas tugas di Eropah sebelum menimba pengalaman baharu dengan beberapa pasukan di Afrika.

Disiarkan pada: December 4, 2020 @ 10:51pm
d